SEREMBAN (Negeri Sembilan): Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberikan jaminan bahawa Umno dan BN sebagai parti komponen, akan terus memberi komitmen sepenuhnya bersama Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau berkata Kerajaan Perpaduan juga berpeluang untuk terus mengekalkan kemenangan pada PRU16 itu jika aspek kesetiaan pada parti dan usaha menyantuni rakyat terus diberi keutamaan.
“Saya ingin respons apa yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat (20 Disember), pertanyaan wartawan kepadanya ketika itu, adakah Kerajaan Perpaduan boleh survive (bertahan) jika pilihan raya dijalankan dalam waktu terdekat, beliau yakin boleh survive.
“Dalam keadaan itu saya ingin menyatakan bahawa kerjasama Umno dan BN dengan Kerajaan Perpaduan (akan berterusan) sehingga PRU16,” katanya selepas majlis Konvensyen BN Negeri Sembilan 2024 pada 22 Disember, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Anwar yang menyatakan keyakinan Kerajaan Perpaduan mempunyai kelebihan untuk menang jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat.
Datuk Ahmad Zahid pada masa sama turut menegaskan ketaatan dan kesetiaan adalah perkara utama dalam kepimpinan parti.
Selain itu, beliau turut memuji barisan menteri BN yang menunjukkan prestasi cemerlang termasuk Menteri Luar merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam ucapannya sebelum itu, Datuk Ahmad Zahid turut menggesa pemimpin BN supaya memperkukuh struktur dalaman parti, mendekati rakyat dan memahami aspirasi generasi muda, pemerkasaan teknologi dan media sosial, serta menggerakkan jentera secara menyeluruh bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Permasalahan timbul dalam PRU14 dan PRU15 ialah ramai pemain sepatutnya ada semangat sepasukan, tetapi tendang bola dalam gol sendiri, akhirnya kecundang.
“Hakikatnya kita mesti berperanan di posisi masing-masing sebagai pemain dalam pasukan bola agar kemenangan memihak kepada kita, pasukan BN jangan tendang bola ke dalam gol sendiri,” katanya.
Datuk Ahmad Zahid juga menegaskan pandangan dan pendapat kepimpinan BN termasuk barisan menteri daripada parti itu perlu diberi perhatian agar tidak ada usaha untuk membawa ahli dan pemimpin BN ‘menyeberang’ ke parti lain.
“Jangan ada usaha membawa mana-mana bagi menyeberang kerana soal kesetiaan adalah perkara utama dalam kepimpinan Umno, menyantuni rakyat dan kekal setia dalam parti adalah prinsip utama kita berparti,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg