Topic followed successfully
Go to BHkuRemaja perempuan 16 tahun parah dikelar lelaki di Sabah
Remaja perempuan 16 tahun parah dikelar lelaki di Sabah
Remaja perempuan 16 tahun parah dikelar lelaki di Sabah
PENAMPANG: Seorang remaja perempuan warga asing berusia 16 tahun cedera di leher selepas dipercayai dikelar menggunakan pisau dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di Penampang, Sabah, pada 7 Mei.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam tandas rumah sewa, sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada di rumah sewa berkenaan sebelum didatangi suspek yang juga dipercayai kenalan mangsa.
Menurut pemilik rumah sewa itu yang enggan dikenali, beliau dihubungi salah seorang penyewa memintanya segera ke kediaman berkenaan yang terletak bersebelahan rumah beliau.
“Sebaik menghampiri rumah itu, saya nampak seorang lelaki berlari ke arah bukit di depan rumah.
“Masa itu saya tidak syak apa-apa. Apabila masuk ke rumah sewa saya nampak mangsa terbaring dalam tandas dengan keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, lapor Harian Metro.
Difahamkan, mangsa tinggal bersama kakaknya di rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu dan, ketika kejadian, sedang menjaga anak kakaknya.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata tuntutan baki hutang kerja membaiki paip rumah dipercayai menjadi punca remaja perempuan itu dikelar di leher dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata kejadian menyebabkan mangsa mengalami luka di leher serta kecederaan di kepala selepas diserang suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk berjumpa kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah.
Katanya, suspek berjaya diberkas hampir lima jam selepas kejadian.
“Ketika kejadian, mangsa sedang memegang pisau kerana menyiapkan masakan di dapur, sebelum suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan dia berasa marah.
“Suspek kemudian bertindak merampas pisau daripada tangan mangsa, sebelum mengelar leher mangsa dan menolak mangsa ke dinding tandas, sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher,” katanya dalam kenyataan pada 7 Mei.
Menurutnya, selepas kejadian, suspek melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis kira-kira 5.50 petang di kawasan semak tepi Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

