JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki Singapura yang sedang menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib republik itu antara tiga individu masing-masing didenda RM3,500 ($1,098) oleh Mahkamah Majistret, di sini, pada 3 November.

Ketiga-tiga lelaki itu – Syajahan Alfian Abdullah, 19 tahun; Muhammad Daniel Hakim Mohamad Rashid, 24 tahun; dan Gonzales Mckhovic anak George, 18 tahun – mengaku bersalah kerana berlumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Linkedua Malaysia-Singapura, pada pertengahan Oktober.

Mereka mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga mereka dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, lapor Kosmo!.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Syajahan Alfian, yang sedang menjalani perkhidmatan negara selama dua tahun di Singapura, didakwa menunggang motosikal pada kelajuan tinggi serta melakukan aksi menduga kelajuan di Kilometer 12.5 Lebuh Raya Linkedua arah selatan, kira-kira 2.10 pagi, pada 18 Oktober.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2026), yang memperuntukkan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammad Daniel Hakim dan Gonzales Mckhovic didakwa berlumba motosikal masing-masing di Lebuhraya Linkedua arah utara, bermula dari KM7.8 hingga KM18.2, kira-kira 2.10 pagi pada 18 Oktober.

Kedua-duanya mereka didakwa mengikut Seksyen 42A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2026) yang memperuntukkan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor S. Vikineswary, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 (Akta 333), yang mula berkuat kuasa pada 16 Oktober lalu, memperkenalkan hukuman lebih berat terhadap kesalahan lumba haram dan merempit melalui pengenalan Seksyen 42A.

Kementerian Pengangkutan dilaporkan berkata akta yang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) itu bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya, memperkukuh penguatkuasaan dan memodenkan penyampaian perkhidmatan JPJ.

Pindaan ini juga bertujuan menutup kelompangan undang-undang yang boleh menyebabkan pihak tertentu mengelak tanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan menggunakan kenderaan masing-masing.