JOHOR BAHRU: Pengguna di Johor diminta bertindak bijak selain memilih restoran serta premis makanan yang masih meletakkan harga munasabah untuk menjamu selera dan membeli makanan.
Pengerusi Persatuan Penggerak Pengguna Johor, Encik Md Salleh Sadija, berkata gerakan boikot digerakkan pengguna baru-baru ini juga boleh dilakukan terhadap restoran yang menaikkan harga makanan sewenang-wenangnya.
Beliau tidak menafikan berlaku kenaikan harga bahan mentah kebelakangan ini, namun ia bukan alasan bagi menaikkan harga makanan dijual, hampir setiap tahun.
“Pengusaha restoran termasuk mamak sebelum ini dilaporkan sudah menaikkan harga makanan awal tahun ini (2024) atas alasan kos operasi terutama bahan mentah yang naik.
“Namun semalam (11 November) mereka dilaporkan mahu menaikkan lagi harga makanan susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 ($512) Februari 2025. Bagi kami ia alasan tidak munasabah berikutan mereka baru menaikkan harga dan ini sudah tentu membebankan lagi pengguna.
“Pengguna dinasihatkan menggunakan kuasa dan hak mereka dengan beralih kepada restoran dan premis makanan yang masih mengekalkan harga munasabah atau memboikot restoran yang menawarkan harga makanan mahal.
“Kos sara hidup di bandaraya Johor Bahru sangat tinggi kerana rakyat tempatan perlu bersaing dengan kuasa pengguna tinggi rakyat Singapura dan pekerja Malaysia yang bekerja di republik itu. Akhirnya rakyat tempatan menjadi mangsa kos sara hidup terlalu tinggi,” katanya pada 12 November, lapor Harian Metro.
Pada 11 November, kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor dijangka menaikkan harga makanan di premis mereka bermula 5 peratus, mulai 2025.
Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor, Encik Hussien Ibrahim, berkata kenaikan itu susulan peningkatan kos operasi disebabkan kenaikan berterusan harga bahan mentah selain pelaksanaan gaji minimum RM1,700 pada Februari 2025.
Pada 18 Oktober lalu, kerajaan dilaporkan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berhubung isu kenaikan harga makanan.
Katanya, perbincangan itu akan diadakan di KPDN Putrajaya, dalam masa terdekat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg