Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Restoran ‘mini zoo’ pamer alpaka di Melaka diarah tutup 7 hari

Sep 22, 2025 | 3:44 PM
Najis haiwan berserakan di sebuah restoran berkonsepkan ‘mini zoo’ di Melaka yang diarah tutup tujuh hari selepas diserbu oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah pada 22 September kerana melanggar undang-undang dan mengabaikan kebersihan.
Najis haiwan berserakan di sebuah restoran berkonsepkan ‘mini zoo’ di Melaka yang diarah tutup tujuh hari selepas diserbu oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah pada 22 September kerana melanggar undang-undang dan mengabaikan kebersihan. - Foto MAJLIS BANDARAYA MELAKA BERSEJARAH

MELAKA: Sebuah restoran mi segera berkonsepkan ‘mini zoo’ di Jalan Bunga Raya, Kampung Jawa di Melaka, yang tular kerana mempamerkan pelbagai haiwan termasuk alpaka serta mengabaikan kebersihan, diarahkan tutup serta merta oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada 22 September.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, berkata premis itu yang diserbu penguat kuasa MBMB pada 12 tengah malam diarahkan tutup selama tujuh hari bagi proses pembersihan menyeluruh.

Malah, beliau berkata pemilik premis yang juga warga Singapura berstatus penduduk tetap (PR) turut dikenakan kompaun RM10,250 ($3,127), iaitu RM10,000 mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 dan RM250 kerana melanggar Undang-undang Kecil Petempatan Makanan (MBMB) 2020.

Beliau berkata tindakan tegas itu diambil selepas pihaknya menerima aduan restoran berkenaan mempamerkan haiwan termasuk spesies unta di tingkat satu premis yang dijadikan ‘mini zoo’ percuma tanpa kebenaran dan jelas melanggar garis panduan kebersihan dan keselamatan makanan.

“Semakan mendapati lesen premis makanan dikeluarkan pada April lalu dan pemilik mula memasukkan 23 haiwan sejak Jun lalu termasuk alpaka, kambing, itik, angsa, arnab dan kucing.

“Tindakan kita ambil serta-merta dan pemilik wajib keluarkan semua haiwan serta bersihkan premis dalam tempoh tujuh hari,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Shadan berkata ini kali pertama pihaknya mengesan sebuah restoran dijadikan ‘mini zoo’ dalam kawasan MBMB.

Restoran itu mula mendapat perhatian selepas video seekor alpaka ‘kesunyian’ di dalam sebuah bilik tular di TikTok hingga mengundang simpati warganet.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, yang menyokong tindakan tegas MBMB itu demi kesihatan awam, dalam hantaran di Facebook rasminya berpendapat konsep perniagaan premis itu berpotensi dimajukan.

Namun katanya ia perlu diurus mengikut peraturan ditetapkan termasuk menjaga kebajikan haiwan.

Menurutnya, beliau tidak menyangka bukan hanya alpaka malah terdapat haiwan lain termasuk kucing yang diletak dalam bilik kaca, arnab (sangkar) dan kambing serta itik bebas berkeliaran atas lantai.

“.. Konsep kedai ini menarik. Cuma salah sebab tak ikut undang-undang PBT dan kacau hak kehidupan binatang. Kesian binatang tu tiada me-time (masa bersendirian untuk berehat).

“Kedai diarah tutup tujuh hari untuk pembersihan, selepas itu patuhi garis panduan, jaga kebajikan binatang dan barulah teruskan perniagaan,” katanya sambil memaklumkan Jabatan Veterinar juga menjalankan siasatan lanjut pada 22 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg