Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribut 15 minit rosakkan 100 rumah di Sekijang, Johor

Nov 4, 2024 | 12:00 PM
Ahli Parlimen Sekijang (Johor), Dr Zaliha Mustafa (dua dari kanan), yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), meninjau keadaan ribut di Kampung Mengkudu, Sekijang, Segamat, Johor, yang menyebabkan 100 rumah ranap dan banyak pokok tumbang merosakkan kenderaan.
Ahli Parlimen Sekijang (Johor), Dr Zaliha Mustafa (dua dari kanan), yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), meninjau keadaan ribut di Kampung Mengkudu, Sekijang, Segamat, Johor, yang menyebabkan 100 rumah ranap dan banyak pokok tumbang merosakkan kenderaan. - Foto FACEBOOK DR ZALIHA MUSTAFA

SEGAMAT: Ribut dalam tempoh kira-kira 15 minit di Parlimen Sekijang, Segamat, Johor, pada 2 November petang, telah mengakibatkan kira-kira 100 rumah terjejas.

Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa, berkata sebahagian bumbung rumah di beberapa kampung ditiup angin, selain terdapat kereta serta motosikal penduduk dihempap pokok.

Beliau berkata antara kawasan terjejas ialah sekitar Kampung Tengah; Kampung Mengkudu; Bukit Lintang; Taman Sulir; Pekan Jabi dan Taman Jun Park.

“Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah turut terkesan. Semuanya berlaku dalam tempoh yang singkat, hanya dalam kurang lebih 15 minit saja,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Menyusuli kejadian, Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata beliau menziarahi mangsa yang terkesan akibat kejadian itu.

Beliau turut menyampaikan sumbangan tunai dan pek makanan kepada mangsa ribut di Kampung Mengkudu, pada 3 November.

“Saya berharap agensi kerajaan terbabit segera mempermudah dan mempercepat semua urusan dan bantuan kepada mereka yang terkesan,” katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Encik Ali @ Zainal Abidin Syed Mohamad, berkata pihaknya menganggarkan kerosakan SK Kampung Tengah kira-kira RM100,000 ($30,177).

Beliau berkata kerja membaik pulih kerosakan sekolah termasuk pembersihan sisa runtuhan bumbung sudah dilaksanakan.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Kuala Lumpur dan lapan negeri hingga tengah hari 4 November.

Menerusi amaran cuaca itu, MetMalaysia memaklumkan negeri terlibat ialah Kedah (membabitkan daerah Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu); Pulau Pinang serta Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak).

Keadaan sama turut dijangka melanda Pahang (Kuantan dan Pekan); Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat) serta Melaka (Melaka Tengah dan Jasin).

Di Johor pula membabitkan daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala di Sabah, ramalan cuaca itu mungkin berlaku di Kudat. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg