Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RM31.2b dana 1MDB/SRC berjaya dipulihkan, baki hutang masih RM24.46b

Nov 28, 2025 | 12:42 PM
Dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diselewengkan dalam skandal politik Malaysia pada 2015 berjaya diperoleh semula oleh kerajaan Malaysia.
Dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diselewengkan dalam skandal politik Malaysia pada 2015 berjaya diperoleh semula oleh kerajaan Malaysia. - Foto fail REUTERS

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia telah berjaya mendapatkan semula dana berjumlah RM31.2 bilion ($9.78 bilion) (termasuk hibah dan pelarasan tukaran wang asing) berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Jumlah perolehanitu dicapai sejak penubuhan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AA MKA) pada Disember 2018 sehingga 30 September 2025.

Kementerian Kewangan memaklumkan, dana AA MKA dikawal selia secara ketat dan tidak dibelanjakan untuk perbelanjaan mengurus atau pembangunan baru. Sebaliknya, dana tersebut hanya digunakan untuk melunaskan hutang serta memenuhi komitmen sedia ada 1MDB dan SRC.

Langkah itu penting bagi memastikan dana awam tidak terus terbeban akibat liabiliti legasi skandal tersebut, jelasnya.

“Setakat 30 September 2025, dana AA MKA masih berbaki sebanyak RM5.29 bilion, manakala baki obligasi hutang 1MDB pula masih berbaki sebanyak RM24.46 bilion.

“Jumlah tersebut meliputi sukuk terbitan nota jangka sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM9.02 bilion, merangkumi prinsipal (RM5 bilion) dan faedah (RM4.02 bilion).

“Selain itu Pendahuluan Pemegang Saham daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) (RM15.44 bilion),” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada 27 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pakatan Harapan - Bandar Tun Razak).

Datuk Wan Azizah menanyakan mengenai cara kerajaan memastikan pemulangan aset dana awam yang berjaya dipulihkan daripada kes berprofil tinggi sejak 2022 dan bagaimana ia dimanfaatkan untuk projek pembangunan rakyat dengan mekanisme pemantauan telus dan berkesan.

Dalam pada itu, MOF juga memaklumkan kerajaan terus komited memperhebatkan usaha mendapatkan semula semua dana berkaitan 1MDB dan SRC yang telah diseleweng.

Usaha itu kata MOF dijalankan dengan matlamat utama untuk memaksimumkan pulangan bagi melunaskan baki hutang serta memenuhi komitmen 1MDB dan SRC mengikut tempoh ditetapkan.

Penyelewengan dana 1MDB dan SRC di Malaysia menarik perhatian dunia sekitar 2015 dan turut membabitkan dakwaan skandal politik terhadap Perdana Menteri Malaysia keenam yang kini menjalani hukuman penjara, Encik Najib Tun Razak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg