Topik diikuti
Pergi ke BHkuRobot pengawal keselamatan mula ‘bertugas’ di terminal bas KL
Robot pengawal keselamatan mula ‘bertugas’ di terminal bas KL
Robot pengawal keselamatan mula ‘bertugas’ di terminal bas KL
Kehadiran pengawal keselamatan yang melakukan rondaan mereka dengan berjalan kaki di dalam bangunan mungkin satu perkara kurang dilihat dalam masa terdekat.
Dipandu oleh kecerdasan buatan (AI), terdapat alat beroda baharu dilengkapi dengan ciri canggih seperti pengecaman wajah, penglihatan 360 darjah dan keupayaan mengesan segala-galanya daripada bagasi yang tidak dijaga kepada kesalahan merokok.
Ia boleh mengawal keselamatan tanpa mengambil masa rehat.
Alat kemajuan itu sedang diuji di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang terletak di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, Malaysia di mana terdapat robot keselamatan berkuasa telah menjalani percubaan awam yang pertama pada 19 Jun.
Ia bekerjasama dengan pengawal manusia untuk membantu mengawasi salah satu hab bas antara negeri yang paling sibuk di Malaysia.
Pengerusi Soulsec Sdn Bhd, Encik S. Shanmugamoorthy, yang syarikat menguruskan keselamatan di TBS, berkata robot itu melengkapkan perkhidmatan pengawal dikendalikan dengan menjalankan rondaan berterusan menggunakan analisis video pintar bagi mengesan potensi pelanggaran keselamatan dalam masa sebenar.
Beliau berkata robot itu sedang menjalani ujian di TBS dengan kemungkinan unit tambahan akan digunakan pada masa akan datang.
Encik Shanmugamoorthy berkata antara keupayaan robot itu ialah pengecaman wajah, rakaman video peringkat mata, mengesan objek mencurigakan, halangan laluan, kesesakan dan juga individu yang terbaring di atas lantai yang mungkin memerlukan bantuan atau menimbulkan keprihatinan keselamatan.
“Apabila berlaku pelanggaran keselamatan seperti beg yang tidak dijaga atau merokok, ia segera memberi amaran kepada pengawal keselamatan melalui wadah pemantauan kami di bilik kawalan.
“Pengawal boleh menilai keadaan dalam masa sebenar dan menghantar kakitangan keselamatan yang terdekat.
“Melalui sistem audio yang terdapat dalam robot, pengawal juga boleh berhubung secara langsung dengan penumpang atau pengunjung dengan memberi arahan, amaran atau panduan,” katanya.
Di luar pengawasan, Encik Shanmugamoorthy berkata robot itu juga berfungsi sebagai unit tindak balas kecemasan mudah alih yang dilengkapi dengan ruang simpanan yang boleh membawa alat pemadam api mini, kit pertolongan cemas dan defibrilator luaran automatik.
“Ia membolehkan kakitangan keselamatan dengan cepat mengakses peralatan kecemasan apabila bertindak balas terhadap kejadian yang berlaku.
“Sekiranya berlaku kebakaran, robot itu boleh diletakan di pintu keluar kecemasan dan menyiarkan arahan sambil membimbing orang ramai ke arah laluan selamat untuk melarikan diri,” katanya.
Encik Shamugamoorthy berkata bergantung kepada konfigurasi digital, setiap robot keselamatan berharga kira-kira RM150,000 ($46,900).
Beliau menambah bahawa teknologi itu boleh meningkatkan keselamatan kakitangan keselamatan semasa situasi berbahaya.
“Robot keselamatan boleh mengambil alih tugas rondaan rutin dan fizikal yang mencabar, membolehkan kakitangan keselamatan memberi tumpuan kepada tanggungjawab lebih penting.
“Dalam kejadian berisiko tinggi seperti rompakan bersenjata, ia boleh dikerah untuk menilai keadaan dan mengumpul maklumat secara langsung,” jelasnya.
Encik Shamugamoorthy percaya robotik keselamatan akan menjadi semakin biasa kerana industri keselamatan bergelut dengan kekurangan tenaga kerja dan kos buruh yang semakin meningkat, terutamanya pekerja hijrahan.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman dengan pandemik Covid-19 pada 2020, ia menunjukkan bagaimana teknologi boleh memudahkan interaksi dengan orang ramai.
“Penyelesaian keselamatan pintar seperti ini akan menjadi sebahagian daripada landskap keselamatan masa depan dengan menggabungkan kepakaran manusia dengan AI bagi mewujudkan ruang awam yang lebih selamat,” katanya.
Encik Shanmugamoorthy menambah ia menerima sambutan yang menggalakkan dari para penumpang dengan ramai yang melahirkan rasa ingin tahu dan keyakinan terhadap penggunaan teknologi bagi mengukuhkan keselamatan di TBS.
Walaupun teknologi itu boleh membentuk masa depan pengurusan keselamatan, beliau berkata robot itu bertujuan untuk melengkapkan dan bukannya menggantikan kakitangan keselamatan.
Penggunaan robot mula mendapat sambutan berikutan pandemik apabila beberapa restoran memperkenalkan pelayan robot untuk menghantar makanan dan minuman kepada pelanggan. – Agensi berita.
