Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rondaan di sempadan M’sia-Thai: Seorang anggota tentera maut, satu hilang

Dec 4, 2024 | 1:48 PM
Pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia pada 3 Disember menyertai upacara pengebumian jenazah Lans Koperal Mohd Afani Jahwin, yang ditemui meninggal dunia dipercayai akibat lemas ketika tugas dalam operasi di sempadan Malaysia-Thailand, dekat Banding, Perak, pada 30 November.
Pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia pada 3 Disember menyertai upacara pengebumian jenazah Lans Koperal Mohd Afani Jahwin, yang ditemui meninggal dunia dipercayai akibat lemas ketika tugas dalam operasi di sempadan Malaysia-Thailand, dekat Banding, Perak, pada 30 November. - Foto FACEBOOK TENTERA DARAT MALAYSIA

GERIK (Perak): Pasukan penyelamat Malaysia giat menjalankan operasi mencari seorang lagi anggota tentera yang dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum, di Gerik, Perak, pada 30 November, walaupun belum menemui petunjuk baru.

Tentera Darat Malaysia (TDM) mengatur gerakan tujuh Tim Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang anggotanya yang hilang ketika melaksanakan rondaan dalam Operasi Kota, Echo, Foxtrot, berhampiran Sungai Merah, di Permatang, sempadan Malaysia-Thailand.

Anggota yang hilang, Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tarmimi, daripada pasukan 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing, Johor, adalah seorang daripada dua anggota yang hilang ketika melaksanakan tugasan rondaan dalam operasi di Banding, Perak, pada 8 pagi, 30 November.

Bagaimanapun seorang lagi anggota, Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin, daripada pasukan 21 Komando, Kem Sungai Udang, Melaka, ditemui meninggal dunia pada 6 petang, 1 Disember, di tepi sungai, kira-kira tiga kilometer (km) dari kedudukan Markas Trup.

Sel Perhubungan Raya, Markas TDM berkata tujuh Tim SAR terdiri lima pegawai dan 112 anggota digerakkan mencari dan menyelamat Lans Koperal Ahmad Zulhilmi.

“Tujuh Tim SAR yang digerakkan adalah Pasukan 2 Rejimen Renjer Diraja (RRD), 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan 22 Komando, bermula dari tempat kejadian di Sungai Merah menyusuri sepanjang Sungai Perak.

“Sehingga kini operasi masih diteruskan bagi mengesan anggota terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia, pada 4 Disember.

Operasi Kota, Echo, Foxtrot adalah operasi pengawasan dan pemantauan keselamatan sempadan yang dijalankan di kawasan Banding.

Ia adalah sebahagian operasi berterusan pihak berkuasa untuk memastikan ketenteraman awam, mencegah ancaman keselamatan dan membendung jenayah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam kejadian itu, dua anggota tentera lelaki terbabit bersama tujuh anggota tentera lain menjalankan tugas gerakan operasi berkenaan di kawasan Hutan Royal Belum, sebelum dua daripada mereka dihanyut arus ketika menyeberangi Sungai Merah.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood, berkata usaha mencari dan menyelamat ketika ini masih diteruskan meliputi kawasan sekitar kejadian oleh polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Laporan kejadian itu diterima Polis Daerah Gerik pada 8.56 pagi, 2 Disember.

Jenazah Allahyarham Mohd Afandi sudah diterbangkan ke kampung halamannya di Sibu, Sarawak, kira-kira 2.15 petang pada 3 Disember, bagi urusan pengebumian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg