Topik diikuti
Pergi ke BHkuRosmah diberi sebulan bayar RM67.46j ke syarikat emas Lebanon
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjarakan, Cik Rosmah Mansor, mengkreditkan bayaran RM67.46 juta ($21.09 juta) kepada syarikat emas Lebanon, Global Royalty Trading SAL (GRTS), melalui akaun yang boleh diakses oleh peguam pihak-pihak terlibat.
Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani yang memberikan Cik Rosmah penangguhan pelaksanaan bersyarat pada 12 Ogos, turut memerintahkan isteri Encik Najib Tun Razak itu untuk membuat pembayaran itu dalam tempoh sebulan dari 12 Ogos.
Cik Rosmah diberikan penangguhan pelaksanaan bersyarat oleh Mahkamah Tinggi terhadap penghakiman RM67.5 juta yang memihak kepada syarikat barang kemas GRTS.
Pesuruhjaya Kehakiman Marianne berkata penangguhan bersyarat itu adalah penyelesaian yang sesuai bagi mengimbangi hak kedua-dua pihak, dengan memastikan GRTS mendapat manfaat daripada kejayaan tuntutan di mahkamah, selain melindungi hak Cik Rosmah untuk merayu.
Hakim berkata wang berkenaan akan kekal dalam bidang kuasa mahkamah dan mudah diperoleh semula sekiranya Cik Rosmah berjaya dalam rayuannya.
Mahkamah menambah GRTS – sebagai entiti asing yang tidak mempunyai kehadiran atau aset perniagaan di Malaysia – mungkin merupakan keadaan khas dalam mempertimbangkan permohonan Cik Rosmah.
Hal itu, tambah mahkamah, adalah kerana terdapat risiko sebenar Cik Rosmah mungkin gagal mendapatkan semula jumlah penghakiman sekiranya pembayaran dikreditkan terus kepada plaintif, jika beliau berjaya dalam rayuannya nanti.
“Mahkamah mendapati bahawa penangguhan bersyarat – yang memerlukan defendan (Cik Rosmah) membayar jumlah penghakiman ke dalam akaun pihak berkepentingan – mengimbangi hak pihak berkaitan dengan sebaik-baiknya.
“Ini akan memastikan plaintif, sebagai litigan yang berjaya, dijamin hasil daripada litigasi yang berjaya dan mengelakkan prejudis disebabkan oleh penangguhan tanpa syarat jika rayuan ditolak,” katanya, lapor portal berita Malaysiakini.
Mahkamah juga menetapkan, GRTS bebas untuk meneruskan pelaksanaan jika Cik Rosmah gagal mendepositkan jumlah wang seperti yang diperintahkan pada 12 Ogos.
Pada Jun lalu, Cik Rosmah diperintahkan untuk membuat bayaran atas kegagalannya memulangkan 43 barang kemas yang telah ditandatangani bersama oleh syarikat itu pada 2018.
Cik Rosmah kemudian membuat rayuan bagi keputusan tersebut dan penangguhan pelaksanaan, yang membawa kepada keputusan pada 12 Ogos.
GRTS memfailkan saman terhadap Cik Rosmah pada 2018 berkait 44 barang kemas yang perlu dipulangkan, tetapi kemudian menariknya semula sebelum kembali memfailkan kes itu pada 2023.
Syarikat itu memohon pengisytiharan bahawa ia adalah pemilik sah barang kemas tersebut – antara lain berupa rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara.
GRTS juga memohon perintah mahkamah untuk barang-barang tersebut dipulangkan atau – jika gagal – Cik Rosmah membuat bayaran sesuai dengan nilainya.
