IPOH (Perak): Rumah milik keluarga mentua Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin, di Kampung Sungai Rapat Tambahan, dekat Ipoh, Perak, terbakar pada 19 Jun malam.
Kejadian itu meragut nyawa ibu mentuanya, Allahyarhamha Salmiah Nyakk Matt, 84 tahun, manakala bapa mentuanya, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83 tahun, mengalami kesukaran bernafas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Encik Sayani Saidon, yang terlibat dalam operasi menyelamat, mengesahkan kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kebakaran berlaku pada 9.19 malam di sebuah kediaman dua tingkat yang terletak di Jalan Raja Abdullah.
Beliau berkata perkhidmatan kecemasan dimaklumkan melalui panggilan MERS 999, mendorong tindak balas pantas daripada pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak.
“Siasatan awal mendedahkan bahawa enam individu, kesemuanya dari keluarga yang sama, berada di dalam rumah semasa kejadian.
“Kebakaran itu secara tragis meragut nyawa seorang wanita berusia 84 tahun, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Suaminya, seorang lelaki berusia 83 tahun, berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan perubatan.
“Empat ahli keluarga yang lain, berumur antara 18 hingga 49 tahun, berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Encik Abang Zainal Abidin berkata siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan punca kebakaran.
“Kes ini telah diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg