KUALA LUMPUR: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menggesa kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap penjualan vape khususnya yang dipasarkan tanpa kawalan, melalui pelbagai wadah dalam talian di negara itu.

Pengerusi Biro Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Pemadam, Datuk Jamelah A Bakar, berkata lambakan jualan vape termasuk melalui media sosial, wadah e-dagang, laman sembang seperti WhatsApp dan Telegram tidak boleh dipandang ringan.

Ini kerana, katanya, vape bukan lagi sekadar isu nikotin semata-mata, tetapi berpotensi menjadi medium penyalahgunaan bahan terlarang yang lebih kompleks dan berbahaya.

Datuk Jamelah berkata keadaan menjadi lebih parah berikutan penggunaan vape kini semakin meluas, terutama dalam kalangan remaja.

“Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan individu berumur 15 tahun ke atas di Malaysia meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2023.

“Peningkatan yang ketara ini memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

“Lebih membimbangkan, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan mengenai penyalahgunaan vape dengan mencampurkan bahan psikoaktif dan dadah sintetik yang boleh menyebabkan ketagihan serius, perubahan tingkah laku, gangguan kesihatan mental dan risiko kematian,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Justeru, Pemadam mengesyorkan beberapa langkah diambil, terutama memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Pemadam percaya Akta 852 menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk mengawal produk merokok termasuk vape.

“Justeru, keutamaan pada masa ini ialah memastikan penguatkuasaannya diperkasa secara konsisten melalui kerjasama erat KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat.

“Selain itu, pemantauan terhadap kandungan produk vape yang berada di pasaran juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan tiada bahan terlarang, bahan psikoaktif atau dadah sintetik disalahgunakan melalui produk terbabit,” katanya.

Pada masa sama, tegas Datuk Jamelah, promosi dan pengiklanan vape yang menyasarkan golongan muda juga perlu dibendung secara lebih berkesan.

Ketika ini KKM sedang bergerak ke arah larangan penuh penjualan dan penggunaan vape di Malaysia, dengan sebahagian kerajaan negeri sudah mula mengambil langkah lebih berani dengan mengharamkan penjualan vape.