Topik diikuti
Pergi ke BHkuSabah tidak boleh jadi hab sindiket penipuan antarabangsa
Sabah tidak boleh jadi hab sindiket penipuan antarabangsa
Sabah tidak boleh jadi hab sindiket penipuan antarabangsa
KOTA KINABALU: Sabah tidak boleh dibiarkan menjadi pusat operasi sindiket penipuan antarabangsa yang semakin berleluasa dan mengancam keselamatan negeri itu, kata Naib Presiden Parti Warisan, Datuk Junz Wong.
Beliau berkata kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah membongkar 12 pusat panggilan penipuan di Sabah dan Labuan serta menahan 341 suspek baru-baru ini perlu dijadikan amaran serius kepada semua pihak.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru itu, skala operasi yang didedahkan amat membimbangkan kerana membabitkan ratusan individu, kebanyakannya warga asing, yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian merentas beberapa negara.
“Ini bukan lagi jenayah terpencil. Apa yang berlaku menunjukkan kewujudan rangkaian jenayah terancang yang beroperasi secara sistematik dan tersusun.
“Amaran Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, bahawa terdapat pihak tertentu yang cuba menjadikan Sabah sebagai hab operasi pusat panggilan penipuan perlu dipandang serius oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Jun.
Datuk Junz berkata isu berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai masalah imigresen, sebaliknya turut melibatkan keselamatan negara, jenayah kewangan serta reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti individu atau pihak yang mungkin menjadi dalang di sebalik operasi sindiket berkenaan.
“Polis telah melaksanakan tugas mereka dengan menyerbu dan menahan suspek. Namun siasatan tidak boleh terhenti di situ.
“Kita perlu mengetahui siapa yang menyewakan premis, siapa yang menguruskan hartanah, siapa yang memudahkan urusan penyewaan dan siapa yang memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram ini,” katanya.
Beliau menegaskan mana-mana pemilik premis, ejen, orang tengah atau individu tempatan yang didapati dengan sengaja membantu sindiket berkenaan menjalankan kegiatan jenayah perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas pelbagai agensi yang membabitkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta agensi berkaitan lain.
Katanya, pendekatan penguatkuasaan secara bermusim atau hanya bertindak selepas sesuatu kes berlaku tidak lagi mencukupi untuk menangani ancaman sindiket jenayah rentas negara.
