KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kenderaan swasta (e-hailing) mendakwa dipaksa menekan butang ‘complete job’ (selesai tugas) sebelum penumpangnya, Datin Seri Pamela Ling Yueh, 42 tahun, dibawa masuk ke dalam satu daripada tiga kenderaan yang memintas mereka berhampiran Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April.
Pemandu terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Kok, 55 tahun, berkata kejadian sekitar 2 petang itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan menghantar wanita berkenaan dari Velocity Tower, Cheras, ke pejabat SPRM.
Beliau berkata kenderaan yang dipandunya dipintas dari arah depan, sisi dan belakang oleh tiga kereta sejurus menghampiri destinasi.
“Tiga individu keluar dari dua kereta, dua lelaki dan seorang wanita. Seorang lagi tidak keluar dari kereta ketiga.
“Mereka mendekati kereta saya dan memaklumkan ingin menahan wanita itu untuk siasatan, kononnya susulan satu laporan polis,” katanya, lapor Harian Metro.
Kok berkata penumpangnya enggan keluar dari kenderaan, menyebabkan wanita berpakaian polis cuba menariknya keluar dari tempat duduk belakang.
Menurut beliau, dua lelaki itu kemudian memberi jaminan wanita berkenaan hanya akan dibawa ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
“Sebaik dia setuju keluar, dia serahkan RM100 ($30.5) sebagai bayaran tambang. Saya dipaksa tekan butang lengkapkan perjalanan, kemudian mereka ambil kad pengenalan, lesen memandu dan nombor telefon saya,” katanya.
Kok berkata beliau membuat laporan polis selepas kejadian kerana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, selain tidak dapat bekerja selama dua minggu sementara menunggu lesen baru siap.
Dalam perkembangan berkaitan, polis masih menjalankan siasatan berhubung kehilangan Datin Pamela termasuk meneliti dakwaan bahawa wanita itu dilarikan individu menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata pihaknya turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Setakat ini, katanya, tiada sebarang permintaan wang tebusan diterima berhubung kehilangan wanita itu.
Sebelum ini SPRM dalam satu kenyataan berkata wanita berkenaan diminta hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg