Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM sita lebih RM483j sejak Jan

Apr 11, 2025 | 3:07 PM
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto ASTRO AWANI.

KOTA KINABALU (Sabah): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan jumlah sitaan sebanyak RM483.38 juta ($146.35 juta), dalam tempoh tiga bulan pertama 2025, dengan nilai sitaan tertinggi melibatkan kes mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata jumlah sitaan berkenaan dicatatkan dari 1 Januari hingga 31 Mac lalu di bawah Akta SPRM 2009.

“Bagi kes Datuk Ismail Sabri, kita telah sita sebanyak lebih kurang RM177 juta, yang telah saya tunjukkan dalam sidang akhbar baru-baru ini. Jumlah yang kita sita merupakan wang tunai, termasuk jongkong emas, itulah yang termasuk dalam RM483.38 juta ini.

“Paling besar sitaan kes sekarang ini adalah kes Datuk Ismail Sabri, iaitu RM177 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Sabah, pada 10 April, lapor Astro Awani.

Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah aset dan wang yang dibekukan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan serta Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 adalah sebanyak RM548.97 juta.

Tambahnya setakat ini, jumlah aset yang telah dilucut hak dan dimasukkan ke dalam akaun kerajaan di bawah ketiga-tiga akta berkaitan termasuk Akta Tatacara Jenayah adalah sebanyak RM603.36 juta.

“Ini menunjukkan bahawa kami sedang giat berusaha menyelesaikan kes-kes lain bagi tujuan pelucutan hak sama ada secara rasmi mahupun melalui penalti dan kompaun, yang mana setakat ini jumlah penalti atau kompaun yang telah berjaya dikutip adalah sebanyak RM412,000,” katanya.

Tan Sri Azam berkata sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 319 kertas siasatan telah dibuka oleh SPRM dan 401 individu ditangkap, dengan 146 telah dituduh di mahkamah.

Datuk Ismail Sabri yang juga mantan Naib Presiden Umno dan Ahli Parlimen Bera (Pahang), sedang disiasat SPRM sebagai suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan kerajaan berjumlah RM700 juta.

Dana terbabit adalah bagi tujuan promosi dan publisiti kerajaan terdahulu dan kerajaan Datuk Ismail Sabri selama pemimpin berusia 65 tahun itu memegang jawatan dari 21 Ogos 2021 hingga 23 November 2022.

Datuk Ismail Sabri disiasat SPRM selepas empat bekas pegawai kanan ketika pentadbirannya ditahan.

Penahanan bekas pegawai terbabit membawa kepada penemuan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa, selain 16 kilogram jongkong emas di sebuah safehouse (rumah di lokasi rahsia untuk persembunyian) di Lembah Klang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg