Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita hilang dalam perjalanan ke SPRM bagi siasatan pengubahan wang haram

May 5, 2025 | 1:39 PM
Datin Seri Pamela Ling, 42 tahun, dilaporkan hilang dan dipercayai diculik ketika dalam perjalanan untuk ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April.
Datin Seri Pamela Ling, 42 tahun, dilaporkan hilang dan dipercayai diculik ketika dalam perjalanan untuk ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes kehilangan isteri seorang ahli perniagaan dari Sarawak, Datin Seri Pamela Ling, yang disyaki diculik ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes pengubahan wang haram, pada 9 April.

SPRM dalam satu kenyataan berkata wanita berkenaan diminta hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April lalu bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Bagaimanapun, wanita terbabit gagal hadir ke ibu pejabat SPRM pada tarikh berkenaan serta peranti komunikasinya gagal dihubungi oleh pegawai SPRM. Berikutan itu, satu laporan polis turut dibuat oleh peguam yang mewakili wanita itu mengenai kehilangannya pada hari sama,” kata SPRM, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, pada 3 Mei mengesahkan kes kehilangan Datin Ling, 42 tahun, disiasat berkaitan penculikan atau melarikan orang dengan niat untuk mengurung secara salah.

Beliau berkata beberapa saksi, termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa, telah dirakamkan kenyataan mereka untuk membantu siasatan misteri kehilangan Datin Ling.

“Setakat hari ini kita belum ada petunjuk dan belum dapat mengesan keberadaan mangsa yang hilang,” katanya.

Bapa kepada wanita itu, Encik Ling Kie Yii, 65 tahun, berkata sehingga kini pihaknya tidak dihubungi mana-mana pihak untuk meminta wang tebusan dan beliau sekeluarga buntu memikirkan nasib anaknya itu selepas dimaklumkan pihak berkuasa ia menjadi kes culik.

“Anak saya tidak menetap di sini sebenarnya. Dia sebaliknya pindah dan menetap di Singapura bersama suami dan anaknya. Sejak disiasat SPRM, anak saya (Datin Ling) tidak pulang ke Singapura dan tinggal di Cheras (Kuala Lumpur),” katanya.

Terdahulu media Malaysia melaporkan, Datin Ling menaiki kenderaan swasta (e-hailing) dari kediamannya di Cheras sebelum dikatakan dipintas sekumpulan lelaki.

Menurut ahli keluarganya, wanita itu menghantar mesej terakhir kepada peguamnya pada 1.57 petang, memaklumkan bahawa beliau sedang dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan dijangka tiba pada 2.08 petang.

Selepas 2 petang, panggilan dan mesej WhatsApp daripada keluarga serta peguamnya tidak dibalas, menyebabkan peguam Datin Ling membuat laporan polis pada petang 9 April.

Datin Ling adalah isteri kepada ahli perniagaan dari Sarawak, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu. Mereka sedang dalam proses perceraian yang rumit di Malaysia dan Singapura, membabitkan harta bernilai tinggi.

Menurut peguamnya, Datuk N Sivananthan, Datin Ling dan suaminya sedang disiasat SPRM berkaitan kes pengubahan wang haram.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg