JOHOR BAHRU: Infrastruktur saliran dan tebatan banjir Johor Bahru masih belum mampu menampung sepenuhnya hujan berintensiti tinggi yang berlaku serentak dengan air pasang besar, meskipun RM100 juta ($31 juta) telah dibelanjakan bagi kerja berkaitan sepanjang 2023 hingga 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kejadian banjir kilat pada 30 September menunjukkan keperluan menilai semula kapasiti saliran, takungan dan pengepaman berdasarkan keseluruhan kawasan tadahan.

Menurut maklumat awal, kadar hujan mencecah 60 milimeter sejam, iaitu tiga kali ganda kadar rujukan 20 milimeter sejam, ketika air pasang besar berada pada paras 3.5 meter.

Jumlah hujan terkumpul pula sekitar 90 milimeter sehingga 7 malam, dengan peningkatan ketara direkodkan antara 1.30 petang dengan 5 petang.

“Kepekatan hujan yang tinggi dalam tempoh singkat ini menyebabkan peningkatan aliran air secara mendadak dan memberi tekanan besar kepada sistem saliran serta takungan,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 September.

Beliau meninjau enam lokasi, termasuk Ayer Molek, kawasan Tabung Haji, Kampung Mohd Amin dan Jalan Danga berdepan Tune Hotel, bagi menilai kejadian banjir serta prestasi kemudahan tebatan.

Datuk Mohd Jafni berkata paras laut yang tinggi memperlahankan pelepasan air melalui saliran ke Selat Johor, manakala pembangunan pesat meningkatkan permukaan berturap dan mengurangkan resapan air ke dalam tanah.

Keadaan itu mempercepat kemasukan air ke rangkaian saliran. Limpahan boleh berlaku apabila aliran masuk melebihi keupayaan pelepasan dan pengepaman, sementara takungan semakin penuh.

“Sebagai kesinambungan usaha ini, RM46.8 juta diperuntukkan pada tahun 2027 khusus untuk pengurusan banjir,” katanya.

Keutamaan kerja akan ditentukan berdasarkan penilaian teknikal, tahap risiko kawasan tadahan dan pengaruh air pasang terhadap pelepasan air.

Antara tindakan yang dirancang ialah mendalamkan kolam tadahan di Kampung Mohd Amin bagi meningkatkan kapasiti menampung air ketika aliran memuncak.

Kemudahan takungan sementara di tapak (OSD) di Jalan Danga berdepan Tune Hotel pula akan dinaik taraf untuk mengawal pelepasan air ke saliran utama. Fungsi OSD Tabung Haji turut diteliti, termasuk kemungkinan aliran tersekat akibat kelodak, sampah atau paras air hilir yang tinggi.

Beliau berkata bilangan pam untuk mengalirkan air dari bandar Johor Bahru ke Selat Johor telah ditambah daripada empat kepada lapan unit.

Bagaimanapun, keberkesanannya perlu dinilai berdasarkan kadar aliran sebenar, keadaan operasi, bekalan kuasa dan penyelenggaraan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Encik P. Pannir Selvam berkata beliau telah meninjau kawasan terjejas di kawasan Dewan Undangan Negeri Perling, termasuk Kampung Pasir, Kampung Sri Jaya dan Kampung Tuah Jaya.

 Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Encik P. Pannir Selvam (kiri), membuat tinjauan bersama anggota polis di Kampung Pasir, Johor Bahru.
 Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, Encik P. Pannir Selvam (kiri), membuat tinjauan bersama anggota polis di Kampung Pasir, Johor Bahru. - Foto FACEBOOK PANNIR SELVAM

Encik Pannir Selvam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Perling, berkata hasil tinjauan dan maklum balas penduduk akan dibawa ke mesyuarat pasukan petugas berkenaan.

“Laporan akan merangkumi punca kejadian, kawasan yang terjejas serta cadangan penyelesaian dan tindakan susulan bagi mengatasi dan mengurangkan risiko banjir berulang,” katanya.

Beliau menasihatkan penduduk supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan petugas demi keselamatan bersama.