Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelepas Johor, tumpuan beralih kepada pilihan raya N.Sembilan 1 Ogos ini
Selepas Johor, tumpuan beralih kepada pilihan raya N.Sembilan 1 Ogos ini
Selepas Johor, tumpuan beralih kepada pilihan raya N.Sembilan 1 Ogos ini
Selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar, tumpuan kini beralih kepada PRN Negeri Sembilan ke-16 yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini.
Menjelang hari penamaan calon pada 18 Julai ini, Pakatan Harapan (PH) menjadi gabungan politik pertama mengumumkan senarai calonnya pada malam 14 Julai.
Sementara blok politik lain yang bakal bertanding dalam PRN itu termasuk Barisan Nasional (BN) yang akan mengumumkan calon pada malam 15 Julai, dan Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkannya dalam masa terdekat.
PRN Negeri Sembilan juga bakal menyaksikan penyertaan sulung Parti Wawasan Negara (Wawasan) – anggota baru PN, sebagaimana disahkan oleh Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebelum ini.
Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli, yang menyertai PRN Johor sebelum ini, juga mengesahkan akan membuka permohonan untuk ahlinya menjadi calon dalam PRN Negeri Sembilan.
PH dan BN yang membentuk kerjasama menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sebelum ini masing-masing sudah mengumumkan akan bertanding solo di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 13 Julai dilaporkan berkata PAS mengadakan rundingan dengan Umno untuk bekerjasama dalam PRN Negeri Sembilan.
Menurut Tan Sri Abdul Hadi, PAS pada dasarnya bersetuju untuk BN mempertahankan 14 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu, manakala PAS akan kekal bertanding di tiga kerusi yang disandangnya sebelum ini.
Penganalisis politik, Dr Muhammad Fuad Abdul Karim, berkata tumpuan utama PRN Negeri Sembilan kali ini pastinya terarah kepada pertembungan secara langsung antara BN dengan PH, setelah kedua-duanya berkongsi pentadbiran di peringkat Persekutuan dan di negeri itu, tetapi memilih haluan berbeza pada PRN ini.
“Keputusan BN untuk bergerak solo pastinya didorong oleh keyakinan tinggi terhadap prestasi cemerlang mereka dalam pilihan raya di negeri itu sebelum ini, di samping keperluan mendesak untuk mempertahankan identiti politik serta kubu kuat tradisi parti.
“PRN ini akan menguji sama ada pengundi melihat BN sebagai alternatif solo yang lebih meyakinkan atau masih memberi mandat kepada PH untuk menerajui Negeri Sembilan.
“Pada masa yang sama, PRN ini bakal bertindak sebagai referendum terhadap keberkesanan model ‘Kerajaan Perpaduan’ dari sudut penerimaan rakyat di Negeri Sembilan,” katanya yang juga Pensyarah Kanan, Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada Berita Harian (BH).
Pada PRN 2022, PH memenangi 17 kerusi, manakala BN memenangi 14 kerusi, sementara lima kerusi lagi dimenangi PN.
PH dan BN kemudian membentuk kerjasama sebagai Kerajaan Perpaduan, sebelum 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada 27 April lalu, menyusuli krisis politik serta institusi Adat dan Raja di negeri itu.
PRN Negeri Sembilan diadakan selepas Datuk Aminuddin mengumumkan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu, selepas pergolakan politik tidak berkesudahan di negeri itu, menyusuli krisis Adat dan Raja di Negeri Sembilan.
Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 889,490 pemilih di Negeri Sembilan layak mengundi yang terdiri daripada 867,151 pengundi biasa; 16,884 anggota tentera serta pasangan dan 5,455 anggota polis.
