Topik diikuti
Pergi ke BHkuSeleweng dana NGO: SPRM sita aset RM4j milik pendakwah bebas
Seleweng dana NGO: SPRM sita aset RM4j milik pendakwah bebas
Dua ahli jawatankuasa NGO termasuk isteri suspek turut disyaki bersubahat
Seleweng dana NGO: SPRM sita aset RM4j milik pendakwah bebas
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM4 juta ($1.29 juta), yang dipercayai milik seorang pendakwah bebas, menyusuli siasatan melibatkan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya.
Sumber itu turut memaklumkan siasatan awal turut mendapati dua ahli jawatankuasa yang disyaki bersubahat dengan pendakwah bebas berkenaan ialah isterinya, yang juga Bendahari NGO tersebut dan seorang lagi berjawatan Setiausaha.
Menurut sumber, SPRM Negeri Sembilan telah melakukan sitaan terbaru pada 23 April, termasuk pelbagai mata wang asing dan tempatan berjumlah RM152,155; selain Riyal (7,325) dan Dolar Singapura ($27,134).
“Turut disita pelbagai perhiasan emas bernilai kira-kira RM2 juta, menjadikan nilai sitaan pada 22 dan 23 April berjumlah kira-kira RM4 juta.
“Siasatan turut mendapati duit yang dipercayai dipindahkan ke akaun bank milik pendakwah bebas itu dan juga lapan akaun bank syarikat, yang juga milik individu berkenaan, dilakukan tanpa pengetahuan ahli jawatankuasa lain,” katanya, lapor Kosmo!.
Pada 22 April, media Malaysia melaporkan seorang pendakwah bebas ditahan SPRM Negeri Sembilan.
Beliau disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana NGO bernilai kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan diri.
Suspek berusia 30-an tahun itu kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, pada 22 April, untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
Majistret Sara Afiqah Zulkifli membenarkan suspek direman sehingga 26 April, bagi membantu siasatan kes.
Sumber SPRM berkata siasatan awal mendapati suspek, yang juga merupakan Pengerusi NGO terbabit, disyaki melakukan perbuatan tersebut pada September 2022 hingga kini.
“Suspek dipercayai telah menyalahgunakan jawatan dan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lapan lagi syarikat miliknya,” katanya.
Menyusuli siasatan, SPRM Negeri Sembilan membekukan 15 akaun yang terdiri daripada tiga akaun bank persendirian, tiga akaun bank NGO dan sembilan akaun bank syarikat dengan nilai berjumlah kira-kira RM16.5 juta.
SPRM turut menyita wang tunai sebanyak RM6,576 serta mata wang asing Riyal (95,568) dan Dolar Singapura ($795).
Selain itu, tiga jam tangan bernilai kira-kira RM5,000; tiga beg tangan (RM3,000); lima gelang tangan (RM26,000); sebentuk cincin (RM2,000); seutas rantai (RM7,000); dan 51 keping emas seberat satu gram (RM31,000) turut disita.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Encik Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
