Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seleweng dana sukuk: SPRM sita barangan mewah, jongkong emas

Jun 13, 2025 | 3:32 PM
Antara barangan yang disita termasuk 84 beg mewah bernilai kira-kira RM3 juta; 11 unit jam tangan berjenama berjumlah kira-kira RM1 juta; serta jongkong, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta.
Antara barangan yang disita termasuk 84 beg mewah bernilai kira-kira RM3 juta; 11 unit jam tangan berjenama berjumlah kira-kira RM1 juta; serta jongkong, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta. - Foto SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita barangan mewah bernilai kira-kira RM16 juta ($4.84 juta), termasuk jongkong emas, berlian dan alatan kasino, dalam siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam satu kenyataan pada 13 Jun menyatakan sitaan dilakukan susulan penggeledahan di kediaman seorang individu bergelar Tan Sri di Bandar Tasik Selatan, Cheras, pada 12 Jun.

Katanya, antara barangan yang disita termasuk 84 beg mewah bernilai kira-kira RM3 juta; 11 unit jam tangan berjenama berjumlah kira-kira RM1 juta; serta jongkong, syiling dan patung emas bernilai kira-kira RM3 juta.

“Selain itu, berlian dan barangan kemas bernilai kira-kira RM4 juta dan satu set alatan kasino berjenama mewah yang dianggarkan bernilai RM150,000 turut disita.

“SPRM turut menemui sebuah bilik rahsia kebal yang menjadi tempat simpanan senjata dan peluru, namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurut kenyataan itu, SPRM pada 12 Jun menggunakan bantuan anggota pasukan taktikal Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) dalam proses merakam keterangan Tan Sri terbabit kerana mengesyaki wujud bilik rahsia menyimpan senjata di kediaman berkenaan.

“SPRM mendapat maklumat terdapat bilik rahsia yang menyimpan barang berharga termasuk senjata yang berkaitan dengan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di kediaman individu ini.

“Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang yang disita bagi dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan keseluruhan penggeledahan dan sitaan pada 12 Jun berjumlah kira-kira RM16 juta.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan dilakukan.

“Proses rakaman keterangan individu tersebut ditangguhkan pada satu tarikh lain disebabkan faktor kesihatan individu terbabit,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg