Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM bekukan harta Daim, keluarga bernilai RM750j

Antara dibeku 7 hartanah termasuk 3 unit kediaman mewah di London
Jun 3, 2025 | 4:19 PM
daim zainuddin
Allahyarham Tun Daim Zainuddin - Foto fail

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membekukan beberapa harta milik Toh Puan Na’imah Abdul Khalid yang juga isteri mantan menteri, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, bernilai lebih £132 juta (RM758.2 juta/$229.7 juta).

Antara aset Toh Puan Na’imah dan keluarganya yang dibekukan ialah tujuh hartanah termasuk tiga unit kediaman mewah di London, serta satu akaun bank wanita terbabit.

Langkah tersebut diambil SPRM menyusuli siasatan agensi terbabit terhadap Allahyarham Tun Daim dan Toh Puan Na’imah berkait Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Hasil siasatan dijalankan SPRM mendapati harta tidak alih (harta yang tidak boleh dipindah seperti bangunan) dan harta alih (harta yang boleh diubah atau dipindah seperti wang) itu adalah perkara atau keterangan yang didakwa berkait dengan kesalahan di bawah seksyen terbabit.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan SPRM untuk membekukan kesemua harta berkenaan pada prosiding secara sebelah pihak (ex-parte) pada 3 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan SPRM bertegas untuk tetap mengambil tindakan pelucutan sebahagian hak pemilikan harta Allahyarham Tun Daim dan keluarganya yang didakwa tidak diisytiharkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata selain RM2 bilion harta Allahyarham Tun Daim yang kini dibekukan SPRM, pihaknya yakin masih ada harta lain miliknya, keluarga serta proksinya di luar negara, namun tidak diisytiharkan kepada pihak berkuasa seperti yang diarahkan.

Peguam dan isteri mantan menteri kewangan Malaysia itu serta keluarganya menyifatkan tindakan SPRM untuk melucutkan sebahagian harta itu sebagai tidak masuk akal dan dibuat tanpa asas perundangan.

Pada 22 Mei lalu, Tan Sri Azam mendedahkan lapan kertas siasatan dibuka berdasarkan maklumat baru yang diterima SPRM daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan Allahyarham Tun Daim, keluarga serta proksinya.

Allahyarham Tun Daim dan isterinya pada Januari 2024 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan aset dan akaun bank milik mereka. Tun Daim bagaimanapun meninggal dunia pada 13 November 2024.

Sebelum ini, Allahyarham Tun Daim dilaporkan sebagai antara orang yang disiasat SPRM berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan yang dikaitkan dengan Umno ketika parti itu mentadbir Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg