Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat berbilang kaum rai sambutan Tahun Baru Cina di M’sia

Anwar Ibrahim lahir komitmen perjuang kepelbagaian, kemajmukan budaya
Feb 2, 2025 | 5:30 AM
Pertunjukan dron sempena pelancaran sambutan Tahun Baru Cina antarabangsa di Kuala Lumpur pada 25 Januari, selepas buat julung kalinya Malaysia dipilih oleh China sebagai tuan rumah sambutan Tahun Baru Cina buat kali pertama di luar China.
Pertunjukan dron sempena pelancaran sambutan Tahun Baru Cina antarabangsa di Kuala Lumpur pada 25 Januari, selepas buat julung kalinya Malaysia dipilih oleh China sebagai tuan rumah sambutan Tahun Baru Cina buat kali pertama di luar China. - Foto KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA MALAYSIA

Dengan lebih 22 peratus daripada sekitar 34 juta penduduk di Malaysia berbangsa Cina, sambutan perayaan Tahun Baru Cina disambut penuh meriah oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di negara itu.

Saban tahun, pelbagai acara sambutan disusun, malah pada 2025 ini, Malaysia mengorak langkah baru apabila buat kali pertama negara itu dipilih China sebagai tuan rumah dalam acara sambutan Tahun Baru Cina yang julung kali diadakan di luar negara Tembok Besar itu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan sambutan Tahun Baru Cina bertaraf antarabangsa itu yang disebut sebagai Festival Musim Bunga di China, mencatat sejarah tersendiri tatkala Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama di luar China.

Dalam ucapannya pada majlis pelancaran sambutan di Kuala Lumpur pada 25 Januari lalu, Datuk Anwar memetik bait-bait puisi nukilan Lu You, pemuisi Dinasti Song yang menggambarkan keutuhan persahabatan Malaysia dan China yang merentas zaman serta melangkaui pelbagai rintangan dan cabaran.

“Meskipun kerjasama ekonomi dan perdagangan menjadi teras kepada kerjasama akrab Malaysia-China, saya tekankan bahawa dialog peradaban perlu diangkat sebagai wadah dalam mewujudkan landskap kerjasama yang lebih utuh di masa hadapan.

“Sebagai negara berbilang kaum, budaya dan agama, saya tegaskan komitmen Malaysia untuk meraikan kepelbagaian dan kemajmukan budaya yang menjadi kekuatan Malaysia sejak sekian lama,” katanya di laman Facebook.

Datuk Anwar mengharapkan sambutan Tahun Baru Cina 2025 disambut dengan penuh kemeriahan oleh seluruh warga Malaysia dalam semangat kekeluargaan dan perpaduan serta terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan Malaysia.

Kelainan sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia pada 2025 ini juga menjadi simbolik ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 2024 lalu.

Mengimbau demografi penduduk Malaysia yang majoritinya kaum Melayu (57.9 peratus) dan India sebagai etnik ketiga majoriti sekitar 6.6 peratus, tidak pelik penduduk yang tidak menyambut Tahun Baru Cina pun sama-sama terlibat dalam perayaan itu.

Mengambil contoh tarian singa sebagai satu acara wajib dan identiti setiap kali tibanya Tahun Baru Cina, ia berjaya menarik minat kaum lain untuk mempelajari budaya dan tarian itu.

Encik K Harish Kanna, 19 tahun, sudah menjadi ahli Kelab Tarian Singa dan Naga Ching Wan di Seremban, Negeri Sembilan, sejak berusia 13 tahun.

Ujarnya, melihat aksi tangkas penari yang melompat dari satu tiang ke satu tiang membuatkan beliau teruja dan timbul rasa untuk mencuba.

“Bermula daripada minat itu dan apabila saya tahu ada persatuan tarian singa di sekolah, saya terus menyertainya. Lebih-lebih saya belajar di sekolah Cina (SJKC).

“Apabila tamat sekolah di tingkatan lima, saya mula aktif dengan kelab ini yang mana kami menerima jemputan membuat persembahan di pelbagai majlis,” katanya menurut Harian Metro.

Menurut beliau, walaupun majoriti pesertanya ialah kaum Cina, beliau tidak langsung merasa tersisih, malah melayan beliau dengan baik seperti satu keluarga.

Sementara itu, pada satu masa dulu, kuih bulan dan kuih bakul yang menjadi manisan tradisi masyarakat Cina pada sambutan Tahun Baru Cina banyak dijual peniaga Cina.

Namun, mutakhir ini, kuih bulan dan kuih bakul halal lebih mudah didapati, malah ia bukan saja mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan Muslim, bahkan daripada masyarakat Cina sendiri.

Ini kerana kuih bulan dan kuih bakul halal memudahkan mereka menjamu tetamu Muslim, terutama bagi keluarga yang mempunyai saudara mualaf selain hadiah daripada masyarakat Cina kepada pelanggan Muslim.

Seorang bekas pensyarah, Cik Syawaliza Abdul Kutty, 42 tahun, antara peniaga Muslim yang menjual kuih bulan halal sejak 2020 lalu dan kini mampu meraih pendapatan lima angka setahun.

Menurut Cik Syawaliza, beliau menggunakan minyak kacang dan adunan kuih bulannya dibuat dalam pembungkusan kecil yang memudahkan untuk dimakan menyebabkan kuihnya laris dijual.

“Saya berhenti sebagai pensyarah pada 2017 selepas melahirkan anak kembar dan bermulalah hobi membuat manisan Cina ini, namun tidak sangka lama kelamaan mendapat sambutan menggalakkan hingga tidak menang tangan terutama pada Tahun Baru Cina.

“Saya mengagumi keunikan kuih tradisional masyarakat Cina semasa mengunjungi Pesta Kuih Bulan di sebuah pasar raya, sebelum mengambil peluang belajar sendiri cara membuat kuih bulan dengan menggunakan bahan halal agar masyarakat Muslim dapat menikmatinya tanpa waswas,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Tidak lengkap andai tidak membeli-belah menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Di Kuala Lumpur, beberapa lokasi seperti Jalan Petaling dan Pasar Seni antara menjadi tumpuan pengunjung terutama pelancong China.

Cik Iris Zhang, 30 tahun, dari wilayah Shandong, China, datang ke Malaysia untuk menyambut Tahun Baru Cina dan memilih membeli belah di Jalan Petaling yang popular dalam kalangan masyarakat Cina Malaysia.

“Saya melihat pempengaruh di China mengetengahkan sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia dan saya tertarik untuk ke sini. Selepas menyambut Tahun Baru Cina di sini, saya akan ke Singapura untuk melawat abang yang tinggal di sana.

“Suasana di sini sangat meriah dan rakyat Malaysia yang saya temui juga semuanya baik-baik,” katanya kepada wartawan BM di situ.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg