Topik diikuti
Pergi ke BHkuSembilan syarikat M’sia disiasat bawa sisa dari S’pura ke Pontian
SWCorp Johor siapkan kertas siasatan, sampel sisa dihantar untuk pengesahan pakar
Sembilan syarikat pengimport berdaftar di Malaysia sedang disiasat berhubung kegiatan membawa sisa dipercayai dari Singapura sebelum membuangnya di beberapa tapak di daerah Pontian tanpa kelulusan sewajarnya.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Encik Zainal Fitri Ahmad, berkata pihaknya kini mendapatkan maklumat terperinci mengenai kesemua syarikat itu daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain menjalankan siasatan di tapak.
“Sembilan syarikat itu pengimport daripada Malaysia. Mereka membawa sisa daripada Singapura.
“Kita sedang menjalankan siasatan di tapak dan mendapatkan maklumat terperinci daripada SSM mengenai syarikat-syarikat tersebut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurut Encik Zainal Fitri, pemilik tanah yang menjadi lokasi pelupusan juga merupakan warga tempatan dan SWCorp sedang menyediakan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan.
Sampel bahan yang ditemukan di tapak telah diambil untuk menentukan secara rasmi jenis sisa yang dibuang.
Beliau berkata sampel itu akan dihantar kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) di kementerian untuk diperiksa pakar.
“Walaupun secara fizikal kita nampak ia seperti sisa biasa, kita masih memerlukan pengesahan mengenai jenis sisa tersebut bagi tujuan pendakwaan.
“Pakar akan mengesahkan sama ada sisa yang dibuang itu termasuk dalam senarai sisa yang dikawal, seperti bahan buangan, besi dan sebagainya,” katanya.
Encik Zainal Fitri menjangkakan keputusan pengesahan sampel boleh diperoleh dalam tempoh kira-kira sebulan.
Bagaimanapun, penyediaan keseluruhan kertas siasatan dijangka mengambil sekurang-kurangnya tiga bulan, bergantung kepada kelengkapan maklumat dan kerjasama semua pihak.
“Paling kurang tiga bulan untuk kita mendapat gambaran yang jelas. Selepas itu, kita perlu mendapatkan kebenaran mendakwa daripada Timbalan Pendakwa Raya.
“Kalau semua pihak memberi kerjasama dan maklumat lengkap, kita boleh siapkan,” katanya.
Menurut beliau, kes pembuangan sisa pepejal secara haram bukan perkara baharu di Johor, tetapi siasatan kali ini merupakan yang pertama seumpamanya membabitkan sisa dari luar negara yang disiasat secara menyeluruh bagi tujuan pendakwaan.
“Ia melibatkan banyak pihak. Sebab itu kita menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk menentukan siapa yang boleh didakwa di mahkamah nanti,” katanya.
Siasatan awal SWCorp sebelum ini mendapati sisa berkenaan dipercayai berasal dari tapak pembinaan di Singapura dan dibawa masuk menerusi Laluan Kedua Malaysia-Singapura sebelum dilupuskan di sekurang-kurangnya tiga plot tanah di Pontian.
Sisa berkenaan didakwa diisytiharkan sebagai sisa pertanian ketika memasuki Malaysia.
Encik Zainal Fitri sebelum ini berkata kegiatan pelupusan tersebut sudah dihentikan dan kawasan terbabit ditutup, manakala siasatan dijalankan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672.
Jika didakwa dan disabitkan kesalahan, pihak yang terbabit boleh berdepan denda sehingga RM100,000 ($31,299) dan hukuman penjara sehingga lima tahun.
Media sebelum ini melaporkan pergerakan treler membawa sisa dipercayai dari Singapura berlaku pada waktu malam hingga awal pagi di beberapa kawasan sekitar Pontian.
Antara lokasi yang disebut ialah Parit Sikom, Batu 26 Jeram Batu-Pengkalan Raja, Kampung Parit Rambai, Kampung Sungai Dinar dan Mukim Sungai Karang.
Sementara itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) ketika dihubungi berkata pihaknya maklum mengenai laporan berita berhubung sisa pembinaan dan perobohan (C&D) yang dilaporkan berasal dari Singapura dan dilupuskan di Pontian, Johor.
“Kami telah menghubungi pihak berkuasa Malaysia untuk mendapatkan fakta sebenar mengenai perkara tersebut.
“Di bawah rangka kerja kawal selia Singapura, eksport sisa C&D berbahaya untuk tujuan pelupusan adalah tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun, aliran bahan sejenis yang diperoleh semula daripada sisa C&D – seperti sekerap logam ferus dan bahan keras (contohnya konkrit, jubin dan batu bata) – dibenarkan untuk dieksport di bawah Konvensyen Basel,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kerajaan negeri akan menubuhkan pasukan khas melibatkan pihak berkuasa tempatan, polis, Pejabat Daerah dan SWCorp bagi menjalankan siasatan menyeluruh.
