Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seorang lagi pemimpin kanan Bersatu desak Muhyiddin berundur

Oct 27, 2025 | 10:41 AM
Saifuddin, Muhyiddin, berundur, desak
Ahli Parlimen (AP) Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah. - Foto MALAYSIAKINI

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (AP) Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menjadi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbaru yang secara terbuka menggesa presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berundur daripada jawatannya dan memberi laluan kepada kepimpinan baru.

Datuk Saifuddin turut menentang sekutu lamanya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), iaitu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dengan menyatakan pemimpin itu perlu digugurkan daripada jawatan tersebut bagi membersihkan parti daripada masalah moral yang menjejas reputasinya.

Ia dipercayai merujuk kepada skandal video seks Datuk Azmin enam tahun lalu, yang kini dijadikan senjata dalam perebutan kuasa dalam Bersatu.

Sementara itu, Datuk Saifuddin bersama enam lagi ketua bahagian Bersatu turut mendesak ketua penerangan parti, Tun Faisal Ismail Aziz, digantikan.

Pandangan Datuk Saifuddin itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang turut ditandatangani ketua bahagian Bersatu Pasir Salak, Puchong, Dungun, Jasin dan Selayang, lapor Malaysiakini.

Datuk Saifuddin merupakan AP ketiga yang secara terbuka menentang Tan Sri Muhyiddin. Dua yang lain ialah AP Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan AP Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Saiful dipecat daripada Bersatu baru-baru ini, manakala keahlian Wan Ahmad Fayhsal digantung selama sepenggal.

Datuk Saifuddin juga menyertai sidang media anjuran Wan Saiful pada September, yang mana Wan Saiful menafikan dakwaan bahawa 120 ketua bahagian mahu menumbangkan Tan Sri Muhyiddin.

Sebaliknya, Wan Saiful berkata mereka hanya mahu Tan Sri Muhyiddin mematuhi pelan peralihan kepimpinan yang telah dipersetujui, dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal menjadi presiden baru parti.

Pada 24 Oktober, Datuk Saifuddin turut menuntut Tan Sri Muhyiddin menjelaskan kedudukan menantunya, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang diburu pihak berkuasa.

Datuk Adlan dikehendaki dalam kes rasuah dan dilaporkan hidup mewah ketika bersembunyi di sebuah negara di Timur Tengah.

Sementara itu, kenyataan yang ditandatangani oleh Datuk Saifuddin turut memaklumkan kehadiran beberapa lagi ketua bahagian dalam siri jelajah anti-Muhyiddin pada 26 Oktober.

Antaranya mantan AP Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon yang juga hadir pada sidang media Wan Saiful.

Datuk Saifuddin dan Datuk Rashid meninggalkan PKR bersama Datuk Azmin pada 2020 di tengah krisis Langkah Sheraton. Mereka kemudian menyertai Bersatu.

Ketika ini, Datuk Azmin merupakan antara penyokong utama Tan Sri Muhyiddin dalam Bersatu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg