Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga dituduh tanam ideologi ganas ISIS di JB, Kelantan

Tertuduh terdiri daripada bekas pensyarah, kontraktor dan bekas banduan; turut miliki bahan berkaitan kumpulan pengganas
Jul 22, 2024 | 2:25 PM
Bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam di Malaysia, Abdullah Daud (tengah, belakang), dan kontraktor, Mohamad Awang (tengah, depan), didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menanam fahaman ideologi ISIS dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganasa itu.
Bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam di Malaysia, Abdullah Daud (tengah, belakang), dan kontraktor, Mohamad Awang (tengah, depan), didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menanam fahaman ideologi ISIS dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganasa itu. - Foto ASTRO AWANI

KUALA LUMPUR: Tiga lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan Kota Bharu, Kelantan, pada 21 Julai, atas tuduhan menanam fahaman ideologi ISIS dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas itu.

Abdullah Daud, 70 tahun, seorang bekas pensyarah institusi pengajian tinggi awam, didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat tuduhan berkaitan kumpulan ISIS antara September 2023 hingga Jun.

Dia didakwa menggalak berlakunya perbuatan pengganasan dengan menanam fahaman pengganasan berkaitan kumpulan ISIS dan membenarkan perjumpaan diadakan di rumahnya di Kampung Melayu Kangkar Tebrau, Johor, untuk menyokong kegiatan pengganasan, lapor Astro Awani.

Abdullah juga didakwa memiliki dua buku – bertajuk, ‘Hakikat Dienul Islam’ dan ‘Tarbiyah Jihadiyah’ – dan dua buku digital serta dua video dalam telefon bimbitnya, yang semuanya berkaitan unsur pengganasan dan berkaitan kumpulan ISIS.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kampung Melayu Kangkar Tebrau dan Kampung Melayu Kangkar Pulai, Johor.

Dalam prosiding sama, seorang kontraktor, Mohamad Awang, 48 tahun, didakwa memiliki bahan berunsur pengganasan dan berkaitan kumpulan ISIS di dalam telefon bimbit dan komputer riba di rumahnya di Taman Daya, Johor Bahru pada 23 Jun.

Sementara itu di Kota Bharu, seorang penganggur yang dipenjara tiga tahun dari 2018 hingga 2020 atas kesalahan memiliki bahan berkaitan kumpulan ISIS, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat tuduhan, iaitu memiliki bahan berkaitan kumpulan ISIS dan memberi sokongan kepada kumpulan itu pada 10 Jun.

Nik Mohd Shalahuddin Zakaria, 40 tahun, didakwa memiliki 1,020 keping gambar, 26 video dan 321 artikel dalam bentuk format dokumen mudah alih (PDF) di dalam sebuah telefon bimbit, selain memiliki 378 keping gambar, 36 video dan 244 artikel berbentuk PDF di dalam sebuah lagi telefon bimbit.

Semua bahan itu ada kaitan dengan perbuatan pengganasan dan kumpulan ISIS.

Dia juga dituduh memberi sokongan kepada kumpulan ISIS dengan cara menggunakan Facebook atas nama ‘Ahmad Saif Al-Islam Il’ dan mengaku menjadi ahli ISIS dengan melakukan upacara baiah dengan pemimpin ISIS, Abu Hafs AL Hashimi Al-Qurashi, konon sebagai ‘khalifah’ untuk memberi sokongan kepada kumpulan itu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh dan tiada ikat jamin dibenarkan.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Fatimah Zahari menetapkan 18 September bagi pengurusan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, manakala Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu Zulkifli Abllah menetapkan 19 Ogos bagi prosedur sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg