Polis Malaysia mengambil pelbagai langkah sewajarnya untuk mengekang sebarang unsur fahaman ekstrem yang boleh mengancam keselamatan negara, susulan kejadian serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, yang mengorbankan dua konstabel polis pada 17 Mei.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata serangan Ulu Tiram itu membuktikan bahaya fahaman mengkafirkan pihak lain yang dianggap tidak sempurna akidah sehingga mewajarkan perbuatan jenayah yang serius dan terkutuk.
Beliau berkata dalam kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, polis bukan saja menemui senjata buatan sendiri dan kitab jihad, malah hasil daripada soal siasat, keluarga penyerang menganggap mereka yang bersolat di masjid kerajaan dan belajar di sekolah kerajaan sebagai kafir.
“Penyerang dan adik-beradiknya tak ke sekolah sebab (mendakwa) sekolah kerajaan kafir. Jadi apabila fahamannya begitu, akidah dia saja dianggap sempurna, orang lain dianggap kafir. Maka tidak peliklah keluarga ini mewajarkan tindakan (serangan) seperti itu.
“Mereka tak bercampur masyarakat, surau tak pergi, adik-beradik dan mak ayah meninggal pun tidak pergi (ziarah). Jadi kafir-mengkafirkan ini sangat membahayakan dalam kehidupan kita.
“Kerana itu polis bangunkan profil lengkap untuk kita mencegah elemen seperti ini supaya ia tidak terus berkembang subur.
“Polis sudah mengambil langkah dan tindakan sewajarnya agar fahaman seperti ini tidak tersebar luas,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad, mengenai usaha kerajaan Malaysia untuk menangkis bentuk ancaman baru pengganasan di Malaysia, di Dewan Rakyat pada 9 Julai.
Datuk Saifuddin berkata susulan insiden Ulu Tiram itu, pihaknya turut mengarahkan pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam, selain meningkatkan rondaan dan menambah baik keperluan logistik, sebagai langkah memperketatkan kawalan keselamatan.
Dalam kejadian 2.30 pagi, lelaki berusia 21 tahun yang bersenjatakan parang, bertopeng dan memakai perlindungan diri menyerang Balai Polis Ulu Tiram menyebabkan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, maut akibat ditetak dengan parang, manakala Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, maut terkena tembakan.
Seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan yang berjaya menembak mati penyerang, turut cedera ditembak.
Susulan kejadian, polis menahan lima ahli keluarga suspek termasuk ibu bapa dan tiga adik-beradiknya dan mereka telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 19 Jun atas sembilan tuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi kumpulan pengganas ISIS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg