Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan seksual fizikal: PU Azman dipenjara 6 tahun, satu sebatan

Dec 30, 2024 | 5:36 PM
Bekas pendakwah selebriti, PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, atas tuduhan serangan seksual terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun pada tujuh tahun lalu.
Bekas pendakwah selebriti, PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, atas tuduhan serangan seksual terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun pada tujuh tahun lalu. - Foto NSTP

SHAH ALAM: Bekas pendakwah selebriti, Azman Syah Alias dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap satu lagi tuduhan melakukan serangan seksual fizikal ke atas remaja lelaki 17 tahun, tujuh tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali memerintahkan Azman Syah, 43 tahun, atau lebih dikenali sebagai PU Azman menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula 30 Disember.

Azman Syah juga dikehendaki menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara.

Pada prosiding sama, mahkamah memutuskan pertuduhan kedua dihadapi nya diambil dalam pertimbangan mengikut 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi pada awal Disember, yang dikemukakan pihak pembelaan mewakili Azman Syah pada Oktober lalu.

Menurut dua tuduhan itu, Azman Syah didakwa melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang remaja 17 tahun ketika kejadian, bagi maksud seksual di sebuah inap desa di Jalan Kebun, di sini antara 12 tengah malam hingga 2 pagi dan 5.30 pagi sekitar September 2017.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding rayuan, peguam Fahmi Adilah memohon mahkamah mengenakan hukuman paling minimum atas beberapa faktor termasuk mengambil kira anak guamnya sedang menjalani hukuman penjara di Kajang.

“Tertuduh adalah bekas pendakwah selebriti dan sebelum ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan lampau. Pengakuan salah oleh tertuduh didorong oleh faktor keinsafan dan kekesalan.

“Dia sedang jalani hukuman penjara sejak 27 September lalu dan terlibat dengan program keagamaan yang memberikan manfaat kepada banduan lain dan staf penjara. Justeru, itu menunjukkan tertuduh insaf,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira pengajaran dan kepentingan awam yang melebihi kepentingan peribadi tertuduh.

“Walau apa jua mitigasi dikemukakan, tertuduh sebagai pendakwah selebriti, perlakuan itu tak sewajarnya berlaku terutama terhadap kanak-kanak.

“Hukuman beri pengajaran kepada tertuduh dan membuka mata masyarakat,” ujarnya.

Pada 17 Disember lalu, Azman Syah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas empat tuduhan pindaan melakukan serangan seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada 2022.

Terdahulu pada 6 Disember, Azman Syah telah dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki berumur 18 tahun, dua tahun lalu.

Sebelum itu pada 27 September Azman Syah diperintah menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua tuduhan serangan seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

Sementara itu peguam Mohamad Zahid ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu media bahawa semua hukuman pemenjaraan dikenakan kepada anak guamnya itu dilaksanakan secara serentak bermula tarikh jatuh hukum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg