BATU PAHAT: Seorang lelaki yang merakam dan menyimpan video lucah milik anggota keluarga, termasuk neneknya, dipenjara empat hari dan denda RM4,000 ($1,215), selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor.
Tertuduh berusia 23 tahun dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dikemukakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang bekerja di kebun sawit itu didakwa menyimpan video dan gambar lucah dalam telefon miliknya di sebuah rumah di Batu Pahat, kira-kira 11.15 malam, 23 Disember.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta dan laporan, polis menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung pautan yang digunakan tertuduh yang ada kaitan dengan video dan lucah rakamannya.
Sebaik menerima maklumat itu, polis menyerbu rumah didiami tertuduh bersama anggota keluarga lain dan merampas telefon bimbit miliknya, lapor Harian Metro.
Pemeriksaan menemukan beberapa gambar dan video yang dirakam tertuduh. Hasil soal siasat, tertuduh mengaku bahan lucah itu milik nenek, ibu saudara dan sepupunya.
Semua video dan gambar itu dirakam ketika mangsa sedang mandi dan menyalin pakaian di dalam bilik.
Dalam satu kes berasingan baru-baru ini, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menggugurkan seorang pakar psikiatri daripada senarai pendaftarannya berikutan penggantungan selama setahun selepas didapati bersalah mengganggu secara seksual dengan menghantar mesej teks lucah kepada pesakitnya.
Menurut keputusan Lembaga Tatatertib MMC yang dipengerusikan Profesor Emerita Dr Nor Hayati Othman, lembaga itu mencadangkan penggantungan selama setahun terhadap Dr GS selepas mendapati dia bersalah atas “pelanggaran etika profesional yang serius”.
Keputusan itu dibuat susulan aduan yang dikemukakan pada 2019 oleh pesakit wanitanya yang hanya dikenali sebagai Cik H, yang kini berusia 30 tahun.
Lembaga Tatatertib mendapati bahawa responden menghantar mesej teks lucah pada Jun 2019 kepada Cik H, yang ketika itu berada dalam “keadaan emosi dan mental yang rentan”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg