JOHOR BAHRU: Penahanan lima ahli keluarga suspek serangan maut di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), adalah bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), apatah lagi kejadian itu turut mendapat perhatian serius Singapura.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata itu adalah pewajaran penahanan lima ahli keluarga suspek mengikut Sosma dan PDRM memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat dengan teliti.
Ini kerana perbuatan membunuh anggota PDRM adalah kesalahan sangat serius dan perlu siasatan rapi terutama motif serangan berdarah itu.
“Apatah lagi Singapura mengambil langkah memperketatkan kawalan keselamatan pintu masuk republik berkenaan susulan insiden itu, jadi kita harus peka dan sensitif mengenai itu.
“Beberapa akta yang kita guna pakai misalnya pada peringkat awal penahanan, kita guna kanun keseksaan dan tempoh tahanan (mengikut akta itu) belum dapat menyelesaikan semua urusan (siasatan).
“Berdasarkan magnitud (serius) kes ini, jadi pasukan polis memerlukan tempoh lama untuk menyempurnakan siasatan bagi memastikan isu keselamatan dan keamanan rakyat terjamin,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Saifuddin menjawab pertanyaan mengenai pewajaran penahanan lima ahli keluarga suspek kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram mengikut Sosma mulai 24 Mei, selepas tahanan reman terhadap mereka tamat pada hari yang sama.
Mengikut Sosma, polis Cawangan Khas akan menjalankan siasatan, manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan meneruskan siasatan berkait Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.
Lima ahli keluarga penyerang berusia 21 tahun yang telah ditembak mati dalam kejadian itu ditahan pada hari kejadian pada 17 Mei, bersama dua lagi penuntut institusi pengajian tinggi berusia 21 dan 22 tahun yang telah dibebaskan tanpa syarat selepas selesai siasatan polis.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengarahkan PDRM menggandakan program pengawasan dan pemantauan ke atas apa-apa maklumat atau komunikasi dalam talian berkaitan bagi membanteras sebarang ancaman kegiatan keganasan.
Beliau berkata ini kerana PDRM melalui Unit Pencegahan Keganasan, Cawangan Khas mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.
Datuk Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara berkata usaha berkenaan juga wajar digemblengkan bersama Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asean (Aseanapol) bagi memastikan kegiatan pengganasan dapat diatasi secara menyeluruh.
Dalam kejadian 2.30 pagi pada 17 Mei, dua konstabel polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera selepas diserang seorang lelaki bertopeng, bersenjatakan parang yang dilengkapi perisai perlindungan diri buatan sendiri di Balai Polis Ulu Tiram.
Kejadian itu turut mendapat perhatian Singapura dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyifatkan insiden itu satu peringatan menggerunkan bahawa ancaman pengganasan kekal tinggi dan mengingatkan rakyat Singapura agar terus berwaspada terhadap ideologi pelampau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg