Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan maut di Ulu Tiram: 5 anggota keluarga penyerang ditahan lanjut

May 24, 2024 | 3:58 PM
Balai Polis Ulu Tiram
Lokasi kejadian serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, didalangi seorang lelaki berusia 21 tahun pada 17 Mei, yang mengorbankan dua konstabel polis, manakala seorang lagi cedera. - Foto FACEBOOK AHLI PARLIMEN JIMMY PUAH

KUALA LUMPUR: Semua lima anggota keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 17 Mei, kini ditahan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Mereka yang terdiri daripada ibu bapa, abang, kakak dan adik kepada penyerang berusia 21 tahun itu akan ditahan di bawah Sosma selama 28 hari bermula 24 Mei, selepas tempoh tahanan reman mereka tamat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan awal mendedahkan bahawa keluarga penyerang itu membawa fahaman radikal.

“Apabila kita (polis) memanggil seramai 47 saksi termasuk penduduk di kawasan kejiranan mereka, pihak kami mendapati keluarga suspek memang tidak bercampur dengan penduduk di kawasan kediaman mereka.

“Mereka (keluarga) lebih memilih untuk hidup bersendirian dan tidak bercampur dengan masyarakat sekitar mereka.

“Seperti yang dijelaskan sebelum ini bahawa suspek memang bertindak sendirian, namun berdasarkan rekod dalam pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bapanya adalah seorang pengikut kumpulan Jemaah Islamiyah (JI),” katanya dalam sidang media pada 24 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.

Tan Sri Razarudin berkata di bawah Sosma, Cawangan Khas Bukit Aman akan menjalankan siasatan, manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih meneruskan siasatan berkait Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.

“Jadi siasatan bersekali (dilakukan bersama), tiada masalah,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan berbeza berkait suspek dan pembabitan dalam JI, Tan Sri Razarudin sekali lagi menegaskan bahawa suspek langsung tiada jaringan dengan JI, walaupun bapanya pada asalnya dalam data polis adalah anggota JI.

Sebelum ini, tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut direman telah dibebaskan tanpa syarat pada 22 Mei.

Dalam kejadian serangan pada 2.30 pagi 17 Mei, dua konstabel polis berusia 22 dan 24 tahun maut akibat ditetak dan ditembak penyerang yang lengkap bertopeng, bersenjatakan parang dan memakai perisai perlindungan diri buatan sendiri.

Penjenayah turut ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan yang menyebabkan seorang lagi anggota polis cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Sementara itu pada sidang media yang sama, Tan Sri Razarudin turut berkongsi kejayaan polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan yang berselindung di sebalik urusan penukaran mata wang asing, perladangan dan kripto dengan tangkapan 10 individu serta rampasan bernilai RM51.2 juta ($14.66 juta) pada 13 hingga 21 Mei.

Beliau berkata kesemua suspek yang merupakan warga tempatan berusia 28 hingga 51 tahun termasuk dalang kegiatan yang dijalankan sejak 2017 itu ditahan di sekitar Lembah Klang menerusi operasi Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg