SPRM siasat dakwaan ubah wang haram RM2.5b babit IJM Corp
SPRM siasat dakwaan ubah wang haram RM2.5b babit IJM Corp
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menumpukan siasatan terhadap dakwaan membabitkan IJM Corporation Berhad, berhubung penglibatan dan kaitan konglomerat itu dalam skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion ($800 juta).
Sumber dalaman SPRM memaklumkan bahawa seorang anggota pengurusan tertinggi syarikat itu yang bergelar Tan Sri serta seorang penasihat syarikat telah dikenal pasti sebagai individu berkepentingan.
“Pasukan penyiasat kini sedang mengumpul maklumat lanjut berkaitan dakwaan berkenaan sebelum satu siasatan rasmi dibuka,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
IJM Corporation adalah sebuah konglomerat utama Malaysia yang terlibat dalam pembinaan dan pembangunan hartanah, termasuk perindustrian dan konsesi infrastruktur seperti lebuh raya dan rel, operasi perladangan dan pelaburan.
Sebelum ini, Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO) (Serious Fraud Office) dilapor melancarkan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua eksekutif berkenaan.
Difahamkan, kedua-dua individu terbabit kini berada di luar negara.
Sumber turut memaklumkan bahawa SPRM juga sedang meneliti dakwaan manipulasi harga saham.
Ia dipercayai berlaku ketika Sunway Group sedang berusaha untuk mengambil alih IJM Corporation menerusi satu urus niaga bernilai RM11 bilion.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa cadangan penggabungan antara kedua-dua syarikat itu dijangka mengubah landskap sektor hartanah dan pembinaan Malaysia, sekali gus berpotensi mendorong pemaju dan kontraktor untuk meningkatkan strategi dan daya saing.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan ke atas IJM Corporation dan maklumat lanjut akan diberikan dari semasa ke semasa.
Sementara itu IJM Corporation telah mengesahkan bahawa pegawai daripada SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah hadir di pejabat syarikat itu di Petaling Jaya, Selangor, pada 19 Januari, untuk mendapatkan maklumat sebagai sebahagian daripada proses dijalankan mereka.
Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada 19 Januari berkata ia bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.
“IJM komited untuk mendukung piawaian tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang kukuh.
“Kami ingin memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa operasi perniagaan IJM Corporation berjalan seperti biasa.
“Syarikat akan terus memantau perkembangan dalam perkara ini dan akan membuat pendedahan apabila tiba masanya sekiranya terdapat sebarang kemas kini penting,” katanya.

