Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Selangor tegur penjawat awam usah malas, lalai jalankan tugas

Feb 27, 2024 | 2:49 PM
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, beri teguran kepada penjawat awam di Selangor supaya beri khidmat terbaik kepada rakyat.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, beri teguran kepada penjawat awam di Selangor supaya beri khidmat terbaik kepada rakyat. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menasihati penjawat awam di Selangor agar melakukan anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sultan Sharafuddin mahu agar kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan kerajaan dapat dikurangkan segera.

Beliau berkata perlu ada iltizam untuk menyegerakan dan bertindak segera dalam memastikan perkhidmatan berkaitan rakyat diselesaikan dengan pantas dan sempurna.

“Saya tidak mahu sikap lalai dan malas terus diamalkan oleh penjawat awam sehingga menyebabkan banyak projek pembangunan tergendala atau berdepan masalah.

“Besarlah harapan saya untuk melihat negeri Selangor ditadbir dengan penuh integriti, berwawasan dan cekap serta kekal dalam keamanan dan kesejahteraan.

“Rakyat saya perlu diberikan perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan pembangunan pesat yang dicapai hari ini dan insya-Allah pada masa hadapan,” kata beliau ketika berucap pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Shah Alam, Selangor, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Sultan Sharafuddin turut mengambil contoh projek tebatan banjir dan projek baik pulih kemudahan rakyat yang masih gagal dilaksanakan dengan segera.

“Saya amat bimbang sekiranya sikap dan kebiasaan sebegini masih ada dalam pemikiran penjawat awam, rakyat Selangor yang akan terus menanggung akibatnya,” katanya.

Sultan Sharafuddin sekali lagi mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar dapat melaksanakan syor beliau supaya keanggotaan ahli majlis terdiri daripada sekurang-kurangnya 50 peratus golongan profesional dan tidak dimonopoli ahli politik.

“Dengan adanya langkah ini, diharap segala masalah dan aduan rakyat dapat ditangani dengan lebih baik menerusi inisiatif turun padang untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat.

“Saya mahu PBT dan jabatan yang memberi perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain memastikan penyelenggaraan harta awam diselenggara dengan baik.

“Ini termasuk pembaikan jalan-jalan raya yang rosak, parit dan longkang yang tersumbat, lif di bangunan awam dan perumahan serta kemudahan untuk bersukan dan rekreasi,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg