Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sikap budiman masyarakat berbilang bangsa bantu legakan sesak Aidilfitri

Apr 16, 2024 | 1:03 PM
Laluan gelap yang dilalui oleh Encik Zairul Annuar yang dikongsikannya di Facebook, sebelum menerima pertolongan penduduk Cina di Ladang Bikam, Perak, yang membuka jalan baru buat mereka supaya dapat mengelak kesesakan dan melancarkan perjalanan ketika pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti Raya di kampung.
Laluan gelap yang dilalui oleh Encik Zairul Annuar yang dikongsikannya di Facebook, sebelum menerima pertolongan penduduk Cina di Ladang Bikam, Perak, yang membuka jalan baru buat mereka supaya dapat mengelak kesesakan dan melancarkan perjalanan ketika pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti Raya di kampung. - Foto FACEBOOK ZAIRUL ANNUAR

SHAH ALAM: Tekanan akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk dihadapi sebahagian besar perantau yang mula pulang ke ibu kota selepas menyambut Aidilfitri di kampung terubat dengan sikap prihatin masyarakat berbilang bangsa.

Ada yang sanggup membantu membuka jalan baru dengan jentolak, ada yang menyediakan tandas percuma di rumah mereka dan ada juga yang bersedekah minuman dan buah-buahan untuk meringankan keresahan pengguna jalan raya.

Di Perak, pengguna media sosial, Encik Zairul Annuar, melahirkan rasa terharu dengan sikap penduduk Cina di Ladang Bikam, yang sanggup membuka jalan baru dengan jentolak semata-mata untuk memudahkan orang Melayu balik semula ke ibu kota selepas sambutan Hari Raya.

“Awalnya kami menggunakan lebuh raya dari Simpang Pulai, Perak, menuju ke arah Selatan. Namun oleh kerana jalan terlalu sesak, kami terpaksa masuk semula melewati susur Gopeng untuk menggunakan jalan dalam.

“Sewaktu menghampiri daerah Ladang Bikam, aplikasi peta di telefon bimbit memaklumkan ada kesesakan teruk di hadapan. Tanpa berfikir, saya langsung ikut laluan alternatif dicadangkan aplikasi itu,” katanya lapor Sinar Harian.

Jelasnya, perjalanannya lancar, bagaimanapun aplikasi tersebut telah membawanya untuk menggunakan jalan kampung yang akhirnya membawa beliau dan isteri ke sebuah kawasan perumahan kecil, melalui jalan tidak berturap dan masuk ke ladang kelapa sawit yang gelap.

“Kami teruskan juga perjalanan dan ternampak beberapa kereta dari arah bertentangan berhenti di samping kami, sambil memberitahu jalan di hadapan tak dapat digunakan. Mereka mengarahkan kami dan pengguna lain berpatah balik,” katanya.

Setelah berpatah balik, beliau berkata kenderaannya diberhentikan sekumpulan lelaki berbangsa Cina.

“Lelaki Cina itu meminta supaya saya tidak berpatah balik, kerana beliau dan sekumpulan penduduk Cina yang lain akan membantu untuk membuka jalan baru. Mereka telah berpakat membantu melancarkan perjalanan kenderaan yang melewati kawasan perumahan mereka.

“Kami lihat sebuah jentolak bergerak laju melepasi kami dari arah bertentangan. Kami pun berpatah balik semula ke arah jalan tadi seperti yang diarahkan. Sebaik sampai di tempat itu, jalan telah hampir siap untuk dilalui dan akhirnya tiba di ibu kota dengan selamat,” katanya.

Menyimpulkan kisahnya, Encik Zairul berkata:

“Penduduk Cina di sini ada sikap peduli mahu membantu kelancaran perjalanan orang Melayu pulang dari kampung menuju ke Kuala Lumpur. Mereka keluar rumah sama-sama bergotong-royong. Hebat orang-orang Cina Perak. Luar biasa! Ini barulah bangsa Malaysia,” katanya.

Sementara itu di Setiu, Terengganu, sekumpulan belia mengambil inisiatif mengagihkan 2,000 potongan tembikai kepada pemandu kereta yang terperangkap dalam kesesakan jalan di antara Kampung Beris Tok Ku ke Pantai Penarik pada hari keempat Syawal, 13 April.

Encik Muhammad Aiman Mohd Yazid, 32 tahun, berkata idea untuk mengagihkan potongan tembikai secara percuma itu dicetuskan rakannya yang dikenali sebagai Akim, 25 tahun, dan mengusahakan 10 ekar tanaman tembikai di kawasan berhampiran.

“Tahun lalu (2023) kami juga mengagihkan minuman percuma. Kebetulan tahun ini (2024) musim tembikai, jadi kami sepakat berkongsi rezeki serta tenaga untuk menggembirakan perantau yang terkandas dalam kesesakan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg