Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sindiket antarabangsa tumpas, RM12.9j dadah dirampas di Johor

Polis bongkar tiga makmal dadah, satu kilang penyimpanan dan peralatan dadah melalui lima serbuan
Mar 18, 2025 | 4:02 PM
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar (tiga dari kiri) bersama pegawai yang bertugas menunjukkan dadah yang dirampas berhubung pembongkaran tiga makmal dadah dan sebuah kilang melalui lima serbuan sekitar Iskandar Puteri dan Seri Alam, Johor, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 18 Mac.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar (tiga dari kiri) bersama pegawai yang bertugas menunjukkan dadah yang dirampas berhubung pembongkaran tiga makmal dadah dan sebuah kilang melalui lima serbuan sekitar Iskandar Puteri dan Seri Alam, Johor, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 18 Mac. - Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI (Johor): Polis Johor menumpaskan sindiket dadah antarabangsa selepas membongkar tiga makmal dadah dan sebuah kilang penyimpanan dan peralatan dadah di Iskandar Puteri dan Seri Alam dengan rampasan bernilai RM12.9 juta ($3.86 juta).

Ia hasil operasi khas dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Iskandar Puteri bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, menerusi lima serbuan pada 6 hingga 11 Mac lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata lima lelaki tempatan dan dua lelaki warga Taiwan berusia 25 hingga 40 tahun ditahan bersama-sama sejumlah rampasan dadah, peralatan dan bahan memproses dadah.

Menurutnya, dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 1.05 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran, dan rampasan itu juga merupakan yang terbesar direkodkan polis Johor pada 2025.

“Ekoran tangkapan ini pihak polis dapat membongkar tiga makmal dadah dan sebuah kilang dadah. Perbezaan tiga makmal dan satu kilang adalah, makmal digunakan sebagai tempat memproses, manakala kilang untuk tempat simpanan dadah.

“Dalam kesemua serbuan itu, pihaknya merampas 42,500 gram serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM7,096,500; dan 182,800 gram syabu bernilai RM5,849,600 serta jumlah rampasan dadah berkenaan bernilai RM12.9 juta.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan dan mesin untuk digunakan pemprosesan dadah yang dijumpai di kilang di kawasan perindustrian bernilai RM1.1 juta.

“Kita juga merampas tiga kereta dengan nilai sitaan RM319,000, lori RM49,800, pelbagai jenis barang kemas RM15,822 dan tiga akaun bank bernilai RM17,600.37.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah, sitaan dan rampasan lain bagi operasi ini berjumlah RM14.4 juta,” katanya pada sidang media mengenai kejayaan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini pada 18 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.

Katanya modus operandi kumpulan ini menjadikan kawasan perumahan ‘gated dan guard’ untuk tempat makmal, manakala kilang terletak di kawasan perindustrian Iskandar Puteri.

“Sindiket dipercayai sudah beroperasi sejak Julai 2024 dengan pembukaan makmal pertama.

“Tujuh suspek yang ditangkap ini termasuk tiga daripadanya ahli kimia tetapi tidak mempunyai tauliah. Kita masih menyiasat dari mana mereka mendapat kepakaran membuat dadah yang dipercayai juga untuk diedarkan ke pasaran antarabangsa.

“Kita juga masih memburu saki baki anggota sindiket ini dan masih menyiasat seorang daripada tujuh suspek ini, disyaki dalang sindiket ini,” katanya.

Pada awal Mac, polis Johor telah menumpaskan dua sindiket pembungkusan dan pengedaran dadah, yang mencampurkan beberapa jenis bahan larangan itu dalam satu paket seperti ‘koktail’, bernilai hampir RM 7 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg