Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dadah RM3.2j dirampas, tiga termasuk warga S’pura ditahan polis Johor

Tangkapan susulan serbuan di tiga kondominium dan sebuah rumah teres sekitar Danga Bay, Taman Setia Indah, Taman Pelangi Indah dan Tampoi
Feb 14, 2025 | 4:32 PM
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar (depan), menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta ($970,000) yang dirampas menerusi tujuh serbuan terhadap sindiket pengedaran dadah sekitar Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar (depan), menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta ($970,000) yang dirampas menerusi tujuh serbuan terhadap sindiket pengedaran dadah sekitar Johor Bahru. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki termasuk seorang warga Singapura ditahan polis Johor menyusuli tujuh serbuan terhadap sindiket pengedaran dadah di sekitar Johor Bahru pada awal Februari, yang menyaksikan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM3.2 juta ($970,000).

Suspek berusia antara 41 dengan 48 tahun itu ditahan dalam operasi khas dijalankan selepas 12 tengah malam, antara 6 dengan 7 Februari.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata sindiket yang dipercayai aktif sejak Januari itu beroperasi dengan cara membungkus semula dadah ke dalam paket kopi dan koko pracampuran.

Setiap bungkusan dicampur dengan pelbagai jenis dadah.

Beliau berkata setiap paket ‘minuman dadah’ itu dijual dengan harga antara RM200 dengan RM250.

“Sindiket ini menjadikan kondominium berpagar sebagai stor simpanan dan membungkus semula dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada 14 Februari, lapor Berita Harian Malaysia.

Mengulas mengenai operasi yang dijalankan, Datuk Kumar berkata pihaknya terlebih dahulu menahan seorang lelaki tempatan di tepi jalan sekitar Johor Bahru pada 6 Februari.

“Ketika Unit Kereta Peronda (MPV) melakukan rondaan di Johor Bahru, mereka telah menahan seorang lelaki tempatan yang dalam keadaan mencurigakan sebelum hasil pemeriksaan menjumpai 1.57 gram dadah jenis syabu.

“Kemudian, kita melancarkan operasi dan melakukan enam serbuan susulan di tiga kondominium dan sebuah rumah teres sekitar Danga Bay, Taman Setia Indah, Taman Pelangi Indah dan Tampoi... semua unit kediaman itu disewa oleh sindiket.

“Dalam semua serbuan, kita menahan dua lagi individu termasuk warga Singapura dan merampas pelbagai jenis dadah,” katanya.

Datuk Kumar berkata dalam serbuan itu, pihaknya merampas 15,333 gram serbuk Ecstacy; 1,008 gram ketamin; 1,357.17 gram syabu; 294 gram ganja; 2,886 gram pil Ecstacy dan 1,784 gram pil Erimin 5 yang semuanya dianggarkan bernilai lebih RM3.2 juta.

“Kita percaya dadah ini diperoleh dari Kuala Lumpur... jika terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 77,279 orang penagih,” katanya.

Datuk Kumar berkata polis turut menyita empat kereta, sebuah motosikal, 14 jam tangan, barang kemas dan wang tunai RM1,491 serta wang tunai dolar Singapura $117.

Beliau berkata ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Pada masa yang sama, Datuk Kumar berkata pihaknya masih dalam siasatan untuk mengenal pasti anggota sindiket lain yang terbabit termasuk sekiranya ada dalang di negara luar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg