JOHOR BAHRU: Penggunaan kod respons pantas (QR) bagi pelepasan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bermula lancar pada 1 Jun di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor Bahru, namun konsep sama hanya akan dapat diaplikasikan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dalam tempoh dua minggu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata buat masa ini, penggunaan kod QR bagi pemeriksaan Jabatan Imigresen hanya digunakan di KSAB bagi Linkedua Malaysia-Singapura.
Kata beliau, untuk penggunaan kod QR di BSI membabitkan laluan Tambak Johor, pihak vendor masih dalam proses melengkapkan aplikasi MyRentas dan dijangka akan dapat digunakan dua minggu lagi.
“Untuk penggunaan kod QR bermula di KSAB pada 1 Jun, warganegara Malaysia yang menaiki bas dan motosikal melakukan pendaftaran menerusi MyTrip yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera.
“Namun begitu, di BSI membabitkan laluan Tambak Johor, vendor masih lagi melengkapkan aplikasi MyRentas dan dijangka akan dapat digunakan dua minggu lagi,” katanya lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, Encik Mohamad Fazli berharap pengembara antara dua negara, Malaysia dan Singapura, dapat mencuba dan memuat naik aplikasi yang dibangunkan bagi penggunaan kod QR.
Menurut beliau, pelaksanaan pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Johor menggunakan kod QR di pintu masuk KSAB yang bermula pada 1 Jun dilaporkan berjalan lancar dan mendapat banyak maklum balas positif.
“Setakat ini berjalan lancar di KSAB, belum ada apa-apa masalah termasuk isu teknikal yang ketara.
“Kita harapkan semua pengembara dapat mencuba dan memberikan maklum balas terhadap inisiatif terbabit yang merupakan usaha kerajaan dalam menangani kesesakan di dua pintu masuk iaitu BSI dan KSAB,” katanya.
Pada 28 Mei lalu, kerajaan Malaysia dilapor akan memuktamadkan penggunaan kod QR bagi pelepasan imigresen di CIQ KSAB dan BSI, selepas tempoh pembuktian konsep (POC) fasa pertama selama tiga bulan dijalankan sehingga 31 Ogos ini.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, sebelum ini berkata fasa pertama sistem kod QR itu melibatkan warganegara Malaysia yang ingin melakukan perjalanan rentas sempadan di KSAB dan BSI dan dimulakan bagi mod perjalanan bas dan motosikal.
Ia adalah antara inisiatif kerajaan Malaysia dalam mempercepatkan proses pelepasan dan menangani isu kesesakan di dua pintu masuk itu, di samping menambah baik tata kelola supaya aliran trafik berjalan lebih lancar pada masa akan datang.
Menurut Datuk Fadillah, jika POC fasa pertama penggunaan kod QR itu berjalan lancar dan tiada masalah, ia akan dibuka kepada rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan persendirian, sebelum diperluaskan kepada pengembara asing.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg