Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suri rumah didakwa buat hantaran FB hina Agong

Jul 7, 2025 | 4:50 PM
Suhaila Abd Halim (depan, kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam pada 7 Julai atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada Januari lalu.
Suhaila Abd Halim (depan, kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Shah Alam pada 7 Julai atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada Januari lalu. - Foto NSTP

SHAH ALAM: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada 7 Julai atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada Januari lalu.

Suhaila Abd Halim, 39 tahun, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norazlin Othman.

Mengikut pertuduhan, Suhaila secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, lapor BH Online.

Hantaran itu dibuat pada 4 Januari dan dilihat pada 5 Januari, kira-kira 8.30 pagi di Hospital Sungai Buloh.

Justeru, ibu kepada enam anak itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 ($15,094) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Encik Fadhli Ab Wahab bersama Pegawai Pendakwa MCMC Encik Mohamad Azmir Mohd Razali.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga setempat.

Suhaila yang tidak diwakili peguam dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan kepada RM500 dengan alasan suaminya adalah penanggung tunggal keluarga.

Hakim kemudian membenarkan ikat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga setempat berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 September untuk perbicaraan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg