Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengesahkan kedudukan Ahli Parlimen (AP) Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang, tidak melanggar atau menyalahi sebarang peraturan dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan semakan yang diperlukan telah dilakukan sebelum pengesahan jawatan yang kembali dipegang Datuk Hamzah itu dibuat.

“Saya dah jelaskan, semua dokumentasi saya perhalusi dan saya sahkan (AP) Larut adalah Ketua Pembangkang hari ini,” katanya, meredakan kekecohan dibangkitkan AP Kota Melaka, Encik Khoo Poay Tiong, mengenai kedudukan Datuk Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

“Ketua Pembangkang tiba-tiba tukar. Itu adalah pergaduhan antara PAS (Parti Islam SeMalaysia) dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

“PAS buli Bersatu, sebab itu Ketua Pembangkang bertukar-tukar. Double standard, tak profesional langsung,” kata Encik Khoo mencelah penjelasan AP Kota Baru, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengenai kedudukan Datuk Hamzah, pada hari pertama sidang Dewan Rakyat pada 22 Jun.

Sebelum itu, Datuk Takiyuddin, yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), bangun untuk membacakan soalan lisan ketika gilirannya.

Namun, beliau terlebih dahulu menjelaskan mengenai kedudukan Ketua Pembangkang, menyusuli pertikaian sesetengah pihak bahawa pelantikan semula Presiden Parti Wawasan Negara itu melanggar peraturan serta Akta Antilompat Parti.

“Sebagai Ketua Whip kumpulan pembangkang, saya ingin menjelaskan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Yang Berhormat Larut bukanlah seorang AP Bebas.

“Beliau adalah seorang AP dalam satu parti berdaftar… dan ia tidak bercanggah dengan perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Takiyuddin.

Perkara 49A membabitkan pertukaran parti politik anggota Dewan Rakyat, dengan antaranya menyatakan seseorang AP tidak terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat jika dipecat daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

Penjelasan Datuk Takiyuddin itu kemudian disambut dengan provokasi daripada Encik Khoo, sebelum Speaker kemudian mengarahkan AP DAP itu duduk.

Terdahulu pada sesi pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 10 pagi, Tan Sri Johari mengucapkan tahniah kepada Datuk Hamzah yang kembali memegang jawatan Ketua Pembangkang bermula 18 Jun lalu.

“Yang Berhormat Larut (Datuk Hamzah) adalah Ketua Pembangkang setakat 20 Mei 2026. Selepas itu, Yang Berhormat Kemaman (Datuk Dr Ahmad Samsuri) menjadi Ketua Pembangkang mulai 21 Mei hingga 10 Jun 2026.

“Kini, Yang Berhormat Larut mulai 18 Jun 2026 kembali menjadi Ketua Pembangkang. Tahniah Larut,” katanya.

Datuk Hamzah sebelum ini meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang pada 20 Mei selepas beliau dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu, berikutan perselisihan dengan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun dipecat, Datuk Hamzah mendapat sokongan majoriti AP untuk dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang, namun ia dibantah Bersatu sebagai satu parti komponen utama dalam PN.

Kedudukan AP dalam Dewan Rakyat juga berubah selepas PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu, dengan PN kini dipimpin dan didominasi PAS.

Tan Sri Johari memaklumkan, perubahan kedudukan Tan Sri Muhyiddin merangkap AP Pagoh yang agak jauh dipindahkan dari barisan hadapan adalah atas permintaan beliau sendiri.

Pada sidang Parlimen itu, Tan Sri Johari turut memaklumkan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, selepas beliau menerima surat perletakan jawatan daripada AP Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan AP Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 18 Mei lalu.