Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM cadang lucut hak, harta RM2 bilion tak diisytihar Tun Daim

May 23, 2025 | 11:32 AM
Tan Sri Azam Baki, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM
Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki (kanan), ketika sidang media di Ibu Pejabat SPRM, pada 22 Mei. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mempertimbangkan cadangan melucut hak pemilikan harta tidak diisytiharkan mantan Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, dianggarkan lebih RM2 bilion ($600 juta).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baru yang diterima daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan Tun Daim serta keluarga dan proksi.

“Jadi maklumat terbaru menunjukkan pemilikan aset arwah Tun Daim, keluarganya dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada kami (SPRM) semasa siasatan yang kami jalankan pada 2023.

“Aset berkenaan sekiranya benar tidak diisytiharkan dan adalah satu kesalahan di bawah akta kami (Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009), walaupun dengan ketiadaan Tun Daim lagi kita akan mencadangkan untuk dilucut hak kepada kerajaan.

“Ia terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada bersetuju atau tidak tetapi kita ke arah itu sebenarnya,” katanya pada sidang media pada 22 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.

Tan Sri Azam berkata pihaknya juga sedang berhubung dengan pihak berkuasa luar negara seperti Switzerland dan Britain berhubung bukti pemilikan aset mantan Menteri Kewangan Malaysia itu.

Ketika ditanya pemberita sama ada harta itu termasuk Menara Ilham yang dikatakan milik keluarga Daim, Tan Sri Azam berkata: “Anda teka sendiri, tapi saya boleh katakan banyak aset, mencecah hingga RM2 bilion.”

Beliau berkata pada masa ini pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan dengan memanggil saksi bagi dipastikan sama ada harta tersebut diperoleh secara betul atau sebaliknya.

“Jadi, dalam kes ini saya telah memberi tempoh lebih kurang dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Pendakwa Raya akan memutuskan tindakan lanjut berhubung pendakwaan yang dihadapi mantan pemimpin itu susulan kematiannya.

SPRM pada Februari 2023 membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat ditemui dalam Pandora Papers yang kemudian membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu dengan Tun Daim memegang jawatan sebagai menteri.

Secara umum, Pandora Papers atau kertas Pandora, ialah dokumen yang mengandungi maklumat tentang wang disimpan secara rahsia menggunakan cara yang dapat mengelak pengetahuan agensi penguatkuasaan undang-undang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg