KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan mendapatkan perintah Mahkamah Sesyen bagi melucutkan hak harta keluarga mantan Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Bagaimanapun, keluarga Allahyarham Tun Daim mendapat perintah larangan bersuara sementara supaya butiran mengenai identiti pihak yang dinamakan sebagai responden dan harta berkenaan tidak didedahkan.
Permohonan larangan bersuara juga tidak dibantah Pendakwa Raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Cik M Esther Jacyntha.
Pada prosiding 10 Disember, peguam, Encik Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili responden memberitahu mahkamah, beliau memaklumkan kepada pihak pendakwa bahawa pihaknya akan memohon perintah larangan terhadap pendedahan maklumat sensitif yang boleh menjejas anak guam.
Beliau berkata perintah berkenaan membabitkan larangan menyiarkan nama individu, nombor akaun bank, dan maklumat lain yang bersifat peribadi.
“Maklumat terbabit tidak boleh didedahkan, bukan mengenai prosiding, tetapi membabitkan hak peribadi anak guam berkaitan maklumat sensitif,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Melalui notis permohonan yang difail pada 28 November, Pendakwa Raya memohon perintah daripada mahkamah agar melucutkan hak harta terbabit.
Ia turut memohon perintah agar disiarkan dalam Warta mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM bagi memanggil mana-mana individu yang mempunyai kepentingan terhadap harta berkenaan, hadir di mahkamah.
Pihak berkepentingan itu hendaklah menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak patut dilucut hak dan seterusnya memohon mahkamah melucut hak harta itu di bawah Seksyen 41(3) akta yang sama.
Permohonan itu juga menyatakan Pendakwa Raya di bawah kuasa-kuasa yang diberi oleh Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah telah berpuas hati harta yang disita oleh SPRM, dilucut hak, di mana tiada pendakwaan jenayah atas suatu kesalahan di bawah akta berkenaan.
Ia juga menyatakan harta terbabit adalah berkaitan dengan satu kesalahan di bawah seksyen 36(2) Akta SPRM (gagal mematuhi notis mengisytiharkan harta).
Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan permohonan perintah larangan bersuara dan menetapkan pada 4 Februari 2026 untuk prosiding bagi pihak ketiga yang berkepentingan hadir ke mahkamah.
Encik Nizamuddin, dalam kenyataan media, berkata seperti permohonan sebelum ini, ia juga tidak menyatakan kesalahan yang didakwa dilakukan mengikut Akta SPRM atau mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan, melainkan tuduhan berkaitan pematuhan tatacara siasatan di bawah Seksyen 36.
Encik Nizamuddin berkata siasatan terhadap keluarga Allahyarham Tun Daim dimulakan oleh pihak berkuasa sejak Februari 2023 dan kini setelah hampir tiga tahun, masih tiada sebarang jawapan di sebalik semua usaha anak guamnya untuk mendapatkan penjelasan terbuka.
SPRM ,pada 22 Mei lalu mempertimbangkan cadangan melucut hak pemilikan harta tidak diisytiharkan Allahyarham Tun Daim, yang dianggarkan lebih RM2 bilion ($600 juta).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika itu berkata lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baru yang diterima daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan Allahyarham Tun Daim serta keluarga dan proksi, yang tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan dijalankan pada 2023.
Pada Februari 2023, SPRM membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemui dalam Pandora Papers, yang kemudian membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu, dengan Allahyarham Tun Daim memegang jawatan sebagai menteri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg