Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 negara kerjasama dengan SPRM, siasat harta milik Daim yang tidak diisytihar

Jul 1, 2025 | 3:52 PM
Malaysia, SPRM, harta, rasuah, Tun Daim Zainuddin
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki (kiri), sebelum ini mengesahkan pihak berkuasa Britain bersetuju dengan SPRM untuk mengenakan perintah larangan terhadap sejumlah aset dan harta bernilai kira-kira RM700 juta milik keluarga dan proksi dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin (kanan). - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa di enam negara akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membekukan harta dan aset yang dikaitkan dengan mantan Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, yang tidak diisytiharkan.

Ini berikutan terdapat sejumlah harta termasuk aset komersial bernilai berbilion ringgit di beberapa negara Eropah tidak diisytihar dalam siasatan SPRM yang dijalankan sejak 2023.

Antara agensi yang akan memberi kerjasama dalam siasatan itu ialah Jabatan Keadilan Amerika Syarikat; Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura dan Jabatan Peguam Negara Switzerland.

Selain itu, dua pihak berkuasa Britain iaitu Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) serta Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) sudah membuat tindakan bagi tujuan perintah pembatas.

Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan beberapa pihak berkuasa di negara yang dikenal pasti menyimpan sejumlah harta itu juga akan turut bersama SPRM dalam siasatan berkenaan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan kerjasama itu dan berkata SPRM akan mengguna pakai Akta Bantuan Bersama Dalam Hal Ehwal Jenayah 2002 (Macma 2002) untuk tindakan penyiasatan.

Menurutnya, penguat kuasa luar negara bekerjasama dengan SPRM bagi melaksanakan perintah pembatas ke atas sejumlah harta mewah dan bernilai tinggi yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan itu.

“Tindakan pembekuan (perintah pembatas) ini sebahagian proses siasatan dan peringkat permulaan sebelum proses seterusnya membabitkan tindakan lucut hak dengan pendakwaan atau tanpa pendakwaan.

“Ini strategi penting dalam usaha memerangi jenayah rasuah atau jenayah kewangan yang membabitkan kerugian tinggi kepada pihak kerajaan dan bertujuan mendapat semula hasil itu untuk negara,” katanya.

Macma 2002 pernah digunakan dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dengan Malaysia meminta bantuan daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk mendapatkan semula aset yang dikaitkan dengan kes itu.

BHM sebelum ini mendedahkan aset dan harta dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim, keluarganya serta proksi, yang berada di lima lagi negara selain Britain, dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM4.5 bilion ($1.36 bilion).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg