Topik diikuti
Pergi ke BHkuSPRM jejak dokumen terkait pelaburan eFishery di 3 negara, termasuk S’pura
SPRM jejak dokumen terkait pelaburan eFishery di 3 negara, termasuk S’pura
Isu berhubung siasatan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan
SPRM jejak dokumen terkait pelaburan eFishery di 3 negara, termasuk S’pura
MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki fasa kerjasama antarabangsa dalam siasatan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Usaha itu dilakukan dengan mengenal pasti Dubai, Singapura dan Indonesia sebagai tiga negara utama bagi mendapatkan dokumen menerusi proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata pihaknya sedang berhubung dengan Jabatan Peguam Negara bagi melaksanakan proses MLA selepas percaya terdapat dokumen berkaitan pelaburan berkenaan yang berada di luar negara.
Beliau berkata setakat ini SPRM hanya meneliti dokumen yang diperoleh daripada KWAP dan Kementerian Kewangan (MOF).
“Kami percaya terdapat dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pelaburan ini, yang terdapat di negara-negara luar... kita akan berhubung dengan Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kerjasama untuk proses MLA diteruskan.
“Negara yang kita fokuskan bagi tujuan MLA ialah Dubai, Singapura dan Indonesia,” katanya pada sidang media pada 28 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, beliau menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Sekretariat Ke-22 Pihak Asean Menentang Rasuah (Asean-PAC) di Melaka.
Media sebelum ini melaporkan SPRM telah merakam keterangan beberapa individu dan pihak tertentu bagi membantu siasatan berhubung pelaburan RM200 juta ($63.30 juta) dana KWAP dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Sebelum itu, MOF mengesahkan pelaburan KWAP dalam eFishery adalah mangsa penipuan terancang, menyusuli terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan syarikat dari Indonesia itu.
Mengulas lanjut, Datuk Abd Halim berkata siasatan yang bermula secara rasmi pada 17 Julai lalu itu berjalan lancar dan mendapat kerjasama daripada semua pihak terlibat.
Beliau berkata daripada tarikh itu, SPRM telah merakam keterangan 20 saksi, melibatkan pegawai KWAP, pegawai MOF, anggota Jawatankuasa Pelaburan KWAP serta ahli panel pelaburan.
“SPRM turut mengutus surat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan kerjasama dalam dua aspek, iaitu mendapatkan perincian melalui Egmont Group of Financial Intelligence Units bagi mengesan kedudukan kewangan dua syarikat di Indonesia dan sebuah (lagi) di Singapura.
“Keduanya, kita memohon kerjasama BNM bagi menjalankan semakan laporan transaksi tunai (CTR) dan laporan transaksi mencurigakan (STR) untuk mengetahui kedudukan kewangan pihak-pihak yang berkaitan dalam siasatan itu,” katanya.
Datuk Abd Halim berkata siasatan masih diteruskan dan proses MLA dijangka mengambil masa lebih lama kerana melibatkan bidang kuasa yang berbeza serta memerlukan kerjasama daripada negara-negara berkenaan.
“Ini termasuklah merakam kenyataan saksi-saksi dari luar negara tersebut, dan kita akan mendapatkan kerjasama bagi membolehkan proses MLA itu dapat dijalankan,” katanya.