KUALA LUMPUR: Lapan video yang didedahkan seorang pemberi maklumat dan kononnya didakwa sebagai bukti salah laku rasuah beberapa pemimpin kerajaan negeri Sabah, disahkan telah disunting dan tiada kredibiliti untuk digunakan sebagai bukti dalam siasatan kes itu.
Perkara itu disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menjalankan siasatan forensik terhadap video yang diterima sebagai bahan bukti untuk menyiasat apa yang didakwa sebagai skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah baru-baru ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dalam maklum balas kepada pengkritiknya mengenai kes itu berkata video yang ada setakat ini – seperti yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini – tidak boleh diguna pakai sebagai bukti.
“Video-video ini telah kita kemukakan kepada bahagian forensik SPRM.
“Laporannya baru-baru ini menunjukkan lapan video di dalam portal itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana berlaku editing (suntingan).
“Ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti,” katanya lapor Malaysiakini.
Bagaimanapun, Tan Sri Azam berkata siasatan SPRM terhadap skandal rasuah melibatkan Adun-Adun di Sabah itu masih berjalan dengan pihak SPRM baru-baru ini mengambil keterangan daripada lima individu termasuk seorang ahli politik dari negeri itu.
Beliau berkata lima individu itu dipanggil susulan isu baru mengenai siasatan berkenaan yang ditimbulkan di portal berita berkenaan dan SPRM Sabah sedang meneliti rakaman keterangan itu.
Katanya, siasatan dakwaan skandal rasuah itu dibuat berdasarkan video yang dikeluarkan portal berita itu serta di media sosial, bukan daripada pemilik video yang juga seorang ahli perniagaan yang dikatakan terbabit memberi rasuah kepada pemimpin terbabit.
Sehingga hari ini pemberi maklumat yang mendedahkan video itu masih belum berkongsi sebarang bukti dengan SPRM.
Ahli perniagaan itu pada mulanya meminta perlindungan sebagai pemberi maklumat daripada SPRM sebagai balasan untuk mendedahkan video berkenaan, tetapi permintaannya ditolak kerana peranannya sebagai pemberi rasuah seperti yang didakwa.
Pemberi maklumat yang enggan mendedahkan butiran dirinya kepada SPRM bagi memberi bahan bukti pernah memberi surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memohon perlindungan.
Bagaimanapun, Datuk Anwar berkata tiada jaminan perlindungan terhadap pendedah maklumat dalam dakwaan skandal rasuah di Sabah jika individu itu adalah pemberi rasuah, malah menegaskan pemberi rasuah juga perlu disiasat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg