KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerana dipercayai terbabit kes rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan penahanan pegawai itu pada 24 Mac, kerana dipercayai terbabit melindungi kegiatan haram di sekitar ibu negara.
“Kami telah mendapatkan perintah reman tiga hari ke atas suspek bagi memudahkan siasatan lanjut kes ini,” katanya lapor The Star.
Sumber mendedahkan bahawa SPRM turut merampas wang tunai lebih RM1 juta ($280,000) daripada beberapa premis yang dipercayai milik pegawai kanan di Putrajaya itu.
Menurut The Star, pegawai kanan terbabit ditahan reman selama tiga hari sehingga 26 Mac untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.
Turut mengesahkan penahanan itu ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, yang berkata pegawai yang ditahan bertugas di ibu kota.
“Kami akan menunggu SPRM untuk menyelesaikan siasatan terhadap dakwaan ini sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, mesej di Telegram mendakwa bahawa pihak berkuasa telah merampas wang tunai lebih RM2.5 juta daripada rumah di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Mesej itu juga mendakwa lebih RM4 juta aset dan harta telah ditemui di premis disyaki milik suspek.
Kes rasuah membabitkan penjawat awam sebelum ini sudah beberapa kali dilaporkan termasuk yang terbaru apabila SPRM menahan 15 penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak melalui pintu masuk negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg