Misteri kehilangan seorang wanita ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan berkait kes pengubahan wang haram di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 9 April lalu semakin rumit, dengan beberapa penemuan baru siasatan.
Datin Seri Pamela Ling Yueh, 42 tahun, dipercayai diculik selepas kenderaan sewa privet yang dinaikinya dari kediaman di Velocity Tower, Cheras, Kuala Lumpur, menuju ke SPRM Putrajaya dipintas tiga kenderaan lain, sebelum dilarikan individu berpakaian polis.
Dengan perkembangan siasatan itu, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan suami wanita berkenaan, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu, adalah antara tumpuan siasatan dalam kes kehilangan Datin Ling.
“Buat masa ini, ada kemungkinan ke arah itu (suami Datin Ling sebagai suspek) dan juga ada orang lain. Siasatan kita masih belum lengkap. Kita percaya mungkin ada orang lain lagi yang akan disiasat sebagai suspek,” katanya.
Untuk rekod, Datuk Thomas Hah ialah pengasas sebuah syarikat konglomerat meliputi pengurusan hartanah, perladangan, perhutanan, pelaburan dan perkapalan yang bertapak di Miri, Sarawak, dan melabur dalam pelbagai pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Brunei, Australia, Papua New Guinea, China dan New Zealand.
Dalam pada itu, Tan Sri Razarudin berkata siasatan kes turut melibatkan usaha untuk mengesahkan sama ada individu yang membawa lari Datin Ling pada hari kejadian adalah anggota polis sebenar atau menyamar sebagai pihak berkuasa.
Bagaimanapun setakat ini, polis mengesahkan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan dalam kes penculikan Datin Ling didapati palsu.
Sejauh ini seramai 16 saksi sudah dirakam keterangan untuk membantu siasatan kes berkenaan, termasuk suami serta anak-anak Datin Ling yang berada di Singapura.
Dalam pada itu, akhbar New Straits Times melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, membidas beberapa pihak yang mendakwa suruhanjaya itu tidak memberi perlindungan secukupnya kepada Datin Ling sebelum kehilangannya.
“Orang ramai perlu berhenti membuat spekulasi mengenai kes ini dan memberi ruang untuk polis menyiasat secara menyeluruh.
“SPRM tidak boleh disalahkan atas kehilangannya kerana kejadian itu di luar kawalan kami dan berlaku di jalan awam, bukan dalam kawasan SPRM,” katanya.
Sebelum ini, SPRM pernah terpalit kes seumpamanya antaranya kematian Teoh Beng Hock, 30 tahun, iaitu Setiausaha politik kepada Exco kerajaan Selangor, yang menjadi saksi dalam siasatan kes salah guna wang peruntukan membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor pada Julai 2019.
Mendiang terbunuh selepas dipercayai terjatuh dekat bangunan pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.
Datin Ling dan suaminya yang dikatakan dalam proses penceraian yang rumit membabitkan harta bernilai tinggi, sedang disiasat SPRM berkaitan kes pengubahan wang haram.
Pada hari kejadian, Datin Ling tidak muncul di pejabat SPRM sebagaimana sepatutnya pada 2 petang, sebelum peguamnya, Datuk N Sivananthan, membuat laporan polis. Keluarga mangsa juga mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan meminta tebusan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg