Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM tunggu analisis forensik video skandal rasuah pemimpin Sabah, jamin tak tutup kes

Apr 10, 2025 | 3:01 PM
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. - Foto FACEBOOK SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu keputusan analisis terhadap 10 video dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah berkaitan isu pelesenan lombong mineral, bagi membantu siasatan kes.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata dakwaan rasuah membabitkan Adun terbabit bukanlah satu perkara yang boleh diselindungkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Saya dah beritahu sebelum ini, ada dua kertas siasatan dibuka iaitu terhadap Albert Tei (pemberi maklumat) dan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (Jontih Enggihon) serta lapan Adun dan video itu.

“Jadi semua pihak perlu faham dan saya dah jelas banyak kali... jadi saya harap semua kena bersabarlah.

“Dalam kita menjalankan siasatan ini, kita tidak fully guided (ikut telunjuk) kita bukan ikut cakap public opinion (pendapat awam) sebaliknya ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi,” katanya dalam temubual bersama Radio SabahFm di Kota Kinabalu, Sabah, pada 10 April, lapor Berita Harian Malaysia.

Kata Tan Sri Azam, sebelum ini apabila keluar lapan video yang didakwa sebagai bukti perlakuan rasuah membabitkan Adun itu di portal berita, pihaknya menghantar video berkenaan kepada Makmal Forensik SPRM yang mempunyai kepakaran dan pengiktirafan Jabatan Standard Malaysia.

Beliau berkata daripada analisis yang dibuat, hasil laporan menunjukkan video terbabit adalah tidak tulen dan banyak berlaku suntingan.

“Pegawai makmal forensik memaklumkan berlaku banyak pecahan pada frame (rangka) video itu menunjukkan berlaku suntingan.

“Dalam kita menjalankan siasatan kita mengambil kira perkara ini, maka ia tidak boleh digunakan sebagai keterangan menyebabkan tiada sebarang pengesahan dan tidak tahu siapa yang benar, sama ada Albert Tei (pemberi maklumat) atau Adun,” katanya.

Tan Sri Azam berkata hanya baru-baru ini saja Albert hendak berkongsi video yang dikatakan tulen dan ia sudah dihantar ke makmal forensik untuk dianalisa.

“Saya sedang menunggu laporan analisis itu kerana ia membabitkan 10 video dan tidak pasti durasinya dan mungkin lebih panjang daripada video sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini sebuah portal berita tempatan melaporkan terdapat sekurang-kurang lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun Sabah didakwa membincangkan ‘rasuah’ bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di Sabah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg