Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura-M’sia sepakat tambah kuota teksi rentas sempadan jadi 300
Cadangan naik kepada 500 teksi bagi setiap negara masih diteliti
S’pura-M’sia sepakat tambah kuota teksi rentas sempadan jadi 300
JOHOR BAHRU: Malaysia dan Singapura bersetuju meningkatkan kuota teksi rentas sempadan kepada 300 secara berperingkat, berbanding 200 sebelum ini.
Dalam pada itu, cadangan bagi menaikkan lagi kuota tersebut kepada 500 buah kenderaan bagi setiap negara masih di peringkat penelitian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata tempoh pelaksanaan peningkatan yang dipersetujui itu bergantung kepada persetujuan kededua negara.
“Setakat ini, disahkan kenaikan 200 ke 300 teksi telah pun dipersetujui. Angka 500 itu belum lagi dimasukkan dalam permohonan,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Menurutnya, senarai lengkap lokasi mengambil dan menurunkan penumpang juga akan dikeluarkan, dengan tindakan susulan diselaraskan bersama pihak berkuasa tempatan.
Dalam kenyataan berasingan mengenai Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Menteri bagi Kerjasama Johor–Singapura (JSCMC), Encik Fazli berkata kededua negara akan meneliti cadangan meningkatkan kuota kepada 500 bagi setiap negara.
Mesyuarat di Singapura pada 2 November itu dipengerusikan bersama Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, dan Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Encik Fazli berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah usaha mempercepat urusan imigresen dan kastam supaya perjalanan harian serta penghantaran barangan lebih lancar.
Ia termasuk cadangan laluan automatik bagi pengesahan urusan logistik serta kemudahan perjalanan rentas sempadan khusus untuk pekerja dan pelabur Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Menurutnya, penggunaan kod QR berkumpulan bagi perjalanan penumpang boleh menjimatkan kira-kira 30 peratus masa pemeriksaan.
Persiapan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) turut dibincangkan, termasuk sambungan ke rangkaian MRT Singapura di Woodlands North serta akses kepada bas, teksi dan laluan pejalan kaki di Johor Bahru.
Bagi pergerakan barangan, beliau berkata Malaysia sedang menilai cadangan perkongsian data kastam dengan Singapura bagi memudahkan pelepasan kargo.
Penggunaan Laluan Kedua turut dikaji bagi menampung lebih banyak kenderaan perdagangan.
“Bagi rakyat yang berulang-alik setiap hari dan pengusaha yang menghantar barangan merentasi sempadan, usaha ini penting untuk mengurangkan masa menunggu dan memudahkan mereka merancang perjalanan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Encik Fazli berkata kerajaan Johor sedang meneliti permohonan peruntukan sekitar RM20 juta ($6.3 juta) hingga RM30 juta bagi kerja menghadapi risiko banjir di Kota Tinggi, Batu Pahat dan Segamat.
Beliau menjelaskan bahawa jumlah tersebut masih pada peringkat permohonan, dengan keutamaan diberikan kepada kerja yang boleh dilaksanakan segera pada November dan Disember, khususnya penyelenggaraan.
Kerja pembinaan benteng atau tembok tebatan banjir pula memerlukan tempoh lebih panjang.
Menurutnya, penentuan keutamaan turut mengambil kira jumlah penduduk yang berisiko terjejas serta sama ada lokasi berkenaan melibatkan kediaman, jalan raya atau kawasan pertanian.
Berdasarkan taklimat Jabatan Meteorologi Malaysia, Johor dijangka menerima hujan melebihi biasa pada penghujung Disember hingga Januari, katanya.
Pada masa sama, Encik Fazli memaklumkan bahawa enam empangan di Johor berada pada paras kritikal, melibatkan sumber bekalan bagi 13 loji rawatan air.
Beliau berkata pelan mitigasi perlu tersedia bagi setiap loji terlibat, termasuk penggunaan sumber air alternatif daripada kolam tadahan lain.