PAPAR (Sabah): Suasana panik menyelubungi Hospital Papar di Sabah pada awal malam 11 November, selepas stor farmasi hospital itu terbakar.

Kakitangan hospital kelihatan bertungkus lumus memindahkan pesakit dan peralatan manakala pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar melaksanakan operasi pemadaman.

Ketua BBP Papar, Penolong Penguasa Bomba Rozlan Osman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.02 malam.

Seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah stor perubatan farmasi manakala sebuah bangunan bilik makmal kajian hanya terkena bahang,” katanya ketika dihubungi pada 11 November, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Rozlan berkata tiada mangsa dilaporkan terbabit setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya sambil mengesahkan operasi memadam kebakaran turut dibantu BBP Kimanis.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata usaha sedang dilakukan untuk memastikan semua pesakit dan kakitangan hospital itu dalam keadaan selamat.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Beliau berkata perkembangan mengenai kejadian itu akan dimaklumkan selepas siasatan dijalankan.

“Saya juga telah dimaklumkan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pemindahan yang perlu juga telah dibuat dengan berjaya, termasuklah ke hospital berhampiran.

“Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang dan memberi seluas-luasnya ruang untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menjalankan tugas mereka.

“Kemas kini seterusnya akan diberikan setelah siasatan dibuat dan segala pengesahan diperoleh daripada pihak berwajib.

“Diharapkan agar semua dapat bersabar buat sementara waktu ini. Sama-sama kita doakan keselamatan dan kesihatan semua di sana,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook pada 11 November.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), berkata bantuan segera disalurkan kepada Hospital Papar selepas kebakaran itu.

Beliau sudah mengarahkan kakitangan di pejabat Parlimennya membantu sejurus menerima berita itu.

Beliau berkata kakitangan di Pejabat Parlimen Papar akan terus membantu situasi di hospital itu, termasuk menyediakan makanan kepada pesakit memandangkan dapur Hospital Papar turut terjejas dalam kebakaran tersebut.

“Buat masa ini, khemah sementara sudah didirikan untuk menempatkan pesakit dan kakitangan hospital yang terkesan dan makanan serta minuman juga diberikan,” katanya menerusi Facebook.

“Syukur tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan pesakit terkesan juga sudah dipindahkan ke wad lain,” katanya.