Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Strategi perpaduan, realiti politik dan persepsi kaum dalam Kabinet terbaru Anwar

Pengamat: Rombakan damba kestabilan dalam parti gabungan kerajaan
Dec 19, 2025 | 6:32 PM
Barisan Kabinet baru Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim (tengah) selepas selesai upacara dan istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 17 Disember.
Barisan Kabinet baru Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim (tengah) selepas selesai upacara dan istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 17 Disember. - Foto BERNAMA

Kabinet baru Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah memulakan tugas selepas mengangkat sumpah jawatan pada 17 Disember, namun perbincangan dan ulasan tentang barisan menteri dan timbalan menteri dilantik masih hangat diperkatakan.

Dengan rombakan Kabinet yang diumumkan Datuk Anwar pada 16 Disember, beliau dilihat membuat percaturan politik dan pentadbiran yang akan mencorak kira-kira dua tahun terakhir pentadbiran Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), yang dijangka sebelum 2028.

Selain mengambil langkah berani dengan memperkenalkan beberapa muka baru yang kurang dikenali, komposisi kaum dan perubahan beberapa portfolio turut mencetuskan perdebatan berunsur perkauman, menimbulkan kontroversi dan digelar sebagai ‘misteri’.

Sebilangan pengamat berpandangan barisan Kabinet yang baru dilantik oleh Datuk Anwar lebih mencerminkan percaturan politik bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan, khususnya ketika wujud pelbagai cabaran dan tekanan politik, termasuk daripada parti-parti dalam gabungan kerajaan sendiri.

Ini merujuk antaranya kepada tuntutan daripada komponen Pakatan Harapan (PH) - Parti Tindakan Demokratik (DAP) - yang juga pemegang kerusi terbanyak dalam Parlimen dengan 40 kerusi - untuk menilai semula peranannya dalam kerajaan sekiranya Datuk Anwar masih gagal melaksanakan reformasi dalam tempoh enam bulan.

Ancaman itu hadir selepas DAP merekod kekalahan teruk pada semua lapan kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pada akhir November lalu.

Portfolio baru dipegang wakil DAP, Cik Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Wilayah Persekutuan, menggantikan tempat Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang digugurkan, adalah yang paling hangat dibincangkan.

Selain itu Encik Steven Sim kini dilantik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Tiga menteri sebelum ini iaitu Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming dan Menteri Digital, Encik Gobind Sigh Deo, kekal di posisi sedia ada.

Enam lagi timbalan menteri daripada DAP kekal dengan ada yang bertukar kementerian, manakala satu muka baru ditampilkan, iaitu Ahli Parlimen (AP) Mas Gading, Sabah, Encik Mordi Bimol.

Pembangkang menyifatkan pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri daripada DAP dalam beberapa portfolio penting sebagai percaturan sengaja bagi mengukuhkan penguasaan DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama lain di Malaysia.

Walaupun Datuk Anwar mempertahankan dengan menegaskan pelantikan ahli Kabinet yang dipersoalkan itu, terutama bagi portfolio Wilayah Persekutuan, tidak berasaskan kaum, ia dilihat masih sukar diterima.

Profesor Kehormat Sains Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berpandangan walaupun pelantikan telah dibuat, dimensi berat sebelah dalam komposisi kaum agak ketara, terutama dalam portfolio penting seperti Wilayah Persekutuan.

SENSITIVITI KAUM DALAM KABINET

Menurutnya, pelantikan menteri dan timbalan menteri daripada etnik Cina bagi portfolio tersebut menimbulkan sensitiviti dalam kalangan masyarakat Melayu bandar, terutama  ketika isu Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan pembangunan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, masih menjadi isu hangat.

Beliau juga berpandangan ia akan membuka peluang kepada lawan politik Datuk Anwar untuk menyerang daripada sudut politik identiti. 

“Langkah ini dianggap seolah-olah memberi bola tanggung kepada musuh politik beliau dan memudahkan serangan politik kepada Datuk Anwar, terutama dalam isu pembangunan bandar yang sensitif di Kuala Lumpur.

“Datuk Anwar sebenarnya berpeluang untuk mengurangkan persepsi racial bias dengan melantik wakil Melayu berkaliber dalam DAP, seperti AP Bangi (Selangor), Encik Syahredzan Johan, sebagai timbalan menteri. 

“Langkah ini dilihat boleh meningkatkan keseimbangan kaum dalam portfolio penting,” katanya kepada Berita Harian (BH) sambil menambah situasi itu dijangka tidak banyak membantu menarik sokongan pengundi Melayu kepada parti kerajaan menjelang PRU akan datang.

Profesor Dr Ahmad Fauzi berkata harapan masyarakat adalah untuk melihat Datuk Anwar melaksanakan reformasi, namun, ia belum sepenuhnya tercapai kerana Pengerusi PH itu sering terpaksa membuat keputusan berdasarkan pertimbangan politik.

Rombakan Kabinet kali ini adalah yang kedua dilakukan Datuk Anwar dalam tempoh tiga tahun pentadbirannya. Rombakan pertama adalah pada Disember 2023, setahun selepas beliau dilantik Perdana Menteri usai PRU15 pada November 2022.

Rombakan itu menyaksikan dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan, enam timbalan menteri dinaikkan pangkat ke jawatan menteri, serta sembilan pelantikan baru merangkumi 18 perubahan portfolio.

Tidak hanya terkait etnik Cina, ada lagi ‘kejanggalan’ lain yang turut disentuh Profesor Dr Ahmad Fauzi, antaranya pelantikan Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Cik Marhamah Rosli.

Beliau sependapat dengan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyifatkan Cik Marhamah adalah personaliti penuh kontroversi, antaranya dalam isu kematian pelajar yang didakwa mangsa buli di Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, serta dakwaan penipuan emas melibatkan nilai RM14 juta.

Profesor Dr Ahmad Fauzi berkata ramai lagi pemimpin berwibawa termasuk yang berpengalaman seperti mantan Menteri Agama daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof.

Bagaimanapun beliau mengingatkan supaya tidak memandang rendah strategi Datuk Anwar yang terkenal dengan keputusan mengejutkan.

“Kadang kala keputusan diambil beliau akan hanya difahami sepenuhnya selepas kesan dan implikasinya terlihat. Diharapkan Kabinet terbaru ini membawa hasil yang positif bagi pentadbiran dan kestabilan politik negara,” katanya.

Selain Cik Marhamah, lapan lagi muka baru dan pertama kali dilantik ke dalam Kabinet antaranya AP Sungai Petani (Kedah), Dr Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan dan anggota Kabinet termuda; AP Segamat (Johor), Encik R Yuneswaran sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan AP Bayan Baru (Pulau Pinang) Encik Sim Tze Tzin.

ROMBAKAN STRATEGI POLITIK

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhamad Fuad Abdul Karim, pula berkata dalam landskap politik Malaysia yang tiada parti dominan, rombakan Kabinet kali ini lebih mencerminkan keperluan pengurusan politik daripada transformasi dasar.

“Kabinet baru ini beroperasi dalam konteks Kerajaan Perpaduan tanpa parti dominan, di mana rundingan dan kompromi menjadi norma. 

“Walaupun Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogatif, tekanan politik daripada parti gabungan seperti Umno dan DAP tidak dapat dielakkan. 

“Rombakan ini mencerminkan realiti sistem politik Malaysia, di mana Perdana Menteri berfungsi sebagai pengurus gabungan parti demi kestabilan dan kelangsungan kerajaan,” katanya kepada BH.

Beliau juga berpandangan pelantikan 12 wakil DAP memberi keyakinan kepada pengundi Cina bahawa suara mereka terus diwakili, tetapi prestasi portfolio lebih penting daripada bilangan jawatan jika parti kerajaan mahu memenangi PRU.

Dr Muhamad Fuad mengalih perhatian dengan menekankan kenaikan pangkat wakil daripada Umno sebagai menteri, yang dilihatnya membawa simbolik penting dalam konteks politik Malaysia, khususnya bagi penyatuan dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan.

Dalam rombakan Kabinet itu, dua timbalan menteri daripada Umno naik pangkat sebagai menteri iaitu Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam).

Selain itu AP dari PH, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli; Datuk Mustafa Sakmud dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

“Langkah ini menegaskan bahawa pengaruh Umno masih relevan sebagai antara penentu hala tuju dasar kerajaan dan perancang strategi dalam pentadbiran, sekali gus menekankan keutamaan parti Melayu utama dalam menentukan hala tuju kerajaan.

“Pelantikan ini turut membawa simbolik Melayu yang penting dalam mengekalkan kuasa kerajaan di mata pengundi Melayu dan arus perdana, serta berperanan mengurus persepsi pengundi yang sensitif terhadap kehadiran parti bukan Melayu, termasuk DAP, dalam Kabinet.

“Secara keseluruhan, langkah ini bukan saja mencerminkan keseimbangan kuasa dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi juga strategi politik untuk memastikan sokongan pengundi Melayu kekal stabil menjelang PRU akan datang,” katanya.

“Keupayaan Kabinet memberikan prestasi terbaik sebelum PRU bergantung kepada fokus terhadap isu kos sara hidup, keberkesanan perkhidmatan awam, kestabilan ekonomi dan kebajikan sosial,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg