Topik diikuti
Pergi ke BHkuStruktur semula pelaburan berjaya: Aset Tabung Haji atasi liabiliti sejak 2018
Struktur semula pelaburan berjaya: Aset Tabung Haji atasi liabiliti sejak 2018
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) sudah melaksanakan penstrukturan semula portfolio pelaburan berasaskan pengurusan risiko berhemah, selain memberi tumpuan kepada pelaburan mapan dan bermutu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pelaksanaannya dibuat lanjutan daripada saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Hasil tindakan itu, katanya aset kekal TH melebihi liabiliti pada setiap akhir tahun sejak 2018 seperti dikehendaki Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
“TH juga berjaya mencatat pendapatan pelaburan pada paras tertinggi untuk tempoh lapan tahun, iaitu sebanyak RM4.64 bilion ($1.47 bilion) pada 2025.
“TH juga berhasil membina semula rizab untuk memastikan kestabilan dan kemampanan dana pendeposit,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada 30 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, mengenai mekanisme terkini bagi menjamin simpanan pendeposit TH susulan RCI yang meneliti 14 pelaburan bermasalah.
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata TH turut komited menjaga kepentingan lebih 9.8 juta pendeposit dan memelihara keyakinan serta amanah yang diberikan bagi menguruskan dana simpanan haji mereka.
“Simpanan pendeposit dijamin sepenuhnya oleh kerajaan dan ini termaktub mengikut Akta 535.
“Simpanan patuh syariah dijamin kerajaan adalah nilai unik bagi memberikan keyakinan kepada umat Islam di Malaysia menyimpan di TH untuk tujuan menunaikan haji,” ujarnya.
Sebelum ini Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata RCI itu mendedahkan TH mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah, dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus.
Menurutnya, daripada jumlah itu, pelaburan TH dengan syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd (Al-Rawda), merekodkan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan berkenaan.
Kerugian hampir RM13 bilion itu tambah beliau, merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH antara 2018 dengan 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.
Lebih parah, bagi tujuh daripada 14 pelaburan itu, ia mencatat kerugian 100 peratus.
Pendedahan RCI itu juga telah membawa kepada pendakwaan bekas Pengerusi Lembaga TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom.